HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 November 2015

Hampir 30 peratus penduduk Malaysia ialah pendatang asing jika…

LANGKAWI 11 May 2015.Anggota Polis  memberi roti kepada pendatang asing tanpa izin(PATI)warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung.NSTP/Amran Hamid

Roketkini.com


KUALA LUMPUR : Jumlah keseluruhan pendatang asing di Malaysia mencapai hampir 30 peratus penduduk negara ini jika cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh diteruskan.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, berkata bilangan pekerja Bangladesh yang mahu dibawa masuk secara berperingkat selama tiga tahun itu pula hampir menyamai tiga perempat penduduk di Perak.

Mengikut statistik Kementerian Sumber Manusia, katanya jumlah pekerja asing yang memiliki Pas lawatan Kerja Sementara pada 2014 mencecah 2.1 juta manakala pendatang tanpa izin seramai 4.6 juta.

“Apabila Kerajaan Persekutuan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, maka jumlah keseluruhan pendatang asing akan mencecah 8.2 juta orang, lebih kurang 27 peratus daripada penduduk Malaysia,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pada 1 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor menyatakan kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh dari pelbagai sektor akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Menegaskan ia bertentangan dengan Rancangan Malaysia ke-11 yang mahu mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah, Sivakumar berkata pekerja Bangladesh bukan pekerja mahir sebaliknya melakukan pekerjaan ‘kotor, berbahaya dan sukar’.

V SivakumarBeliau berkata, kemasukan pekerja Bangladesh itu juga merumitkan masalah pengangguran berikutan kadarnya dikhuatiri naik kepada empat peratus berbanding sekarang antara 2.9 hingga 3.2 peratus.

Apatah lagi, katanya, banyak sektor awam tidak mengambil pekerja baru manakala syarikat swasta ‘tutup kedai’ sekaligus menjejaskan peluang penduduk tempatan memperoleh pekerjaan dan kenaikan gaji.

“Statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan lebih 40 peratus pekerja tempatan di negara ini berpendapatan bulanan kurang RM2,000 manakala 65 peratus pendapatan gabungan suami isteri kurang RM3,500.

“Malaysia akan gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 kerana sasaran gaji individu RM5,000 sebulan mustahil dicapai dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya yang membantah keras kemasukan pekerja Bangladesh itu.


Tiada ulasan: