Roketkini.com
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mensyor cadangan supaya undang-undang baru digubal atau pindaan dibuat bagi memastikan tanah yang diduduki penduduk setinggan dilindungi.
Beliau berkata, ia bertujuan menjamin hak penduduk yang menduduki tanah dalam tempoh lama supaya tidak boleh dijual beli sehinggah isu pampasan dan penempatan dirunding antara kerajaan negeri dan pemaju.
“Ini dapat memastikan mereka tidak diambil kesempatan oleh beberapa pihak yang mementingkan keuntungan,” katanya pada perbahasan sidang Parlimen, 3 November lalu.
Beliau turut memberi contoh kes pengusiran penduduk Kampung Ulu Temiang yang menduduki tanah selama lebih 40 tahun tanpa pampasan tetapi keputusan mahkamah memihak kepada pemaju swasta.
Kasthuri berkata, penggubalan dan pindaan itu perlu berikutan preseden undang-undang berkaitan Kanun Tanah Negara sedia ada memihak kepada pembeli tanah hingga menyebabkan penduduk setinggan teraniaya.
Apabila penduduk membawa kes ke mahkamah, katanya, peguam kepada pembeli tanah kerap menggunakan hujah berlandas undang-undang sedia ada hingga menyebabkan nilai kemanusiaan tidak dilaksana terutama isu pampasan.
“Di manakah keadilan bagi penduduk setinggan yang menduduki tanah selama lebih 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun tidak diperuntuk pampasan sewajarnya dan seadilnya?” katanya.
Kasthuri berkata, penggubalan dan pindaan Kanun Tanah Negara itu juga perlu diseragam di semua negeri berikutan hal ehwal tanah selama ini terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kuasanya terbatas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan