HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 November 2015

Keputusan MalaysiKini ketepi hakim 16 Disember depan

 
Kamaludin, selaku Hakim Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan tarikh tersebut dalam kamar di Mahkamah Tinggi Seremban


msiakini


SEREMBAN : Mahkamah Tinggi Seremban menetapkan 16 Disember ini untuk keputusan permohonan Malaysiakini mengetepikan Hakim Datuk Wira Kamaludin Said daripada mendengar kes saman Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusof terhadap pengendali portal berita itu berhubung penerbitan dua artikel.

Kamaludin, selaku Hakim Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan tarikh tersebut dalam kamar hari ini.

Dalam permohonan yang difailkan pada 24 Jun lepas, Mkini Dotcom Sdn.Bhd., dan dua lagi iaitu Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar, memohon supaya Kamaludin menarik diri daripada mendengar saman fitnah itu atas alasan terdapat unsur bahaya berat sebelah sekiranya hakim itu mendengar kes berkenaan.

Dalam permohonan mereka, pihak defendan berkata Kamaludin yang sebelum ini berkhidmat di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur telah berpindah ke MahkamahTinggi Seremban pada 1 Jan lepas.

Mereka berkata kes itu masih di peringkat pengurusan kes dan tarikh perbicaraan belum ditetapkan, oleh itu tiada sebarang alasan atau sebab munasabah menurut amalan biasa bagi hakim yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Seremban untuk mendengar kes saman itu.

Sementara itu, peguam Nor Hazira Abu Haiyan, yang mewakili Perdana Menteri dan Ab Rauf, ketika ditemui pemberita, berkata pihak plaintif tidak bersetuju dengan permohonan pihak defendan kerana dalam afidavit yang difailkan oleh pihak defendan, tiada bukti kukuh yang menunjukkan Hakim Kamaludin berat sebelah.

Selain Nor Hazira, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, turut mewakili kedua-dua plaintif.
Bagi pihak defendan pula, mereka diwakili oleh peguam Datuk Malik Hujaz dan Ashok Kandiah.

Pada 22 Jun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan kedua Mkini, Steven dan Fathi yang difailkan pada 12 Jun untuk membatalkan keputusan Hakim Besar Malaya yang melantik Kamaludin untuk mendengar kes saman itu.

Pada 30 Mei tahun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan Ab Rauf selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Mkini, Steven dan Fathi selaku defendan.

Mereka mendakwa kesemua defendan telah melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk “A case of the PM reaping what he sows” dan “How much will Najib spend to keep Terengganu?” di bawah ruangan Yoursay dalam laman portal www.malaysiakini.com pada 14 Mei tahun lepas.

Kedua-dua plaintif juga mendakwa komen-komen dalam artikel-artikel itutersirat sindiran untuk menunjukkan bahawa UMNO tidak cekap sebagai badan politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional.

Mereka mendakwa perkataan fitnah telah juga direka untuk mencerminkan UMNO sebagai menyalahgunakan kuasa demi kepentingan parti dan ia sebuah parti yang tidak demokratik dan sengaja dicipta situasi yang tidak diingini.

Tiada ulasan: