HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 November 2015

‘Media putar belit, AGM Umno sesi tertutup’

Yap Jia Hee dan Alyaa Alhadjri  





Liputan media untuk Perhimpunan Agung Umno bulan depan akan dihadkan, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau mendakwa keputusan itu, yang pertama seumpamanya, kerana portal berita dalam talian mempunyai kecenderungan untuk memutar-belitkan berita.

"Kerana laman-laman web dalam talian suka putar-belit..," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai perkara itu.

Mengenai sama ada sekatan juga akan dikenakan semasa ucapan perasmian Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata: "Kami masih pertimbangkan sama ada untuk benarkannya (liputan) atau sebaliknya. Begitu juga dengan ucapan penggulungan.

“Kita tidak benarkan media berlegar merata-rata. Kita tidak akan pancar apa yang berlaku di dalam Dewan Merdeka kepada televisyen litar seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sebarang perkembangan dan maklumat berkenaan perhimpunan parti terbesar Melayu itu hanya akan disampaikan oleh dua Naib Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi sidang akhbar harian.

“Setiap hari Ahmad Zahid dan Hishammuddin akan membuat sidang akhbar untuk mengupas apa yang berlaku pada perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Tengku Adnan, bagaimanapun, tidak menyebut mengenai seorang lagi naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, yang digugurkan daripada kabinet kerana lantangmengkritik 1MDB. [Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan sebelum ini, hanya beberapa wakil media dibenarkan berada di Dewan Merdeka, venue utama perhimpunan agung manakala perhimpunan perwakilan sayap di dewan berasingan adalah terbuka kepada semua media.

Pada masa yang sama, perjalanan persidangan dan perhimpunan boleh diikuti menerusi CCTV yang diletakkan di pusat media yang disediakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ditanya mengapa sidang media itu tidak melibatkan seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tengku Adnan berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam memutuskan untuk memberi tanggungjawab tersebut kepada Ahmad Zahid dan Hishammuddin.

"Kita ada dua (hadir sewaktu mesyuarat), seorang lagi (Mohd Shafie) kalau dia balik, kita ajaklah.

Sekarang ni kita ada dua saja, sebab semalam dia tak datang, semalam MT dah putuskan dua orang saja,” katanya.

Mohd Shafie tidak hadir pada mesyuarat MT semalam.

Mengenai ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden seperti kelaziman pada perhimpunan agung itu, Tengku Adnan berkata ia masih belum diputuskan sama ada akan dilakukan atau tidak.

"Itu kita akan putuskan nanti. Semalam (sewaktu mesyuarat MT) pun kita tak bincangkan," katanya.
Perhimpunan Agung Umno 2015 dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember.


Tiada ulasan: