SINGAPURA,  Dua rakyat Malaysia yang masing-masing berumur 37 dan 39 tahun ditangkap, kerana cuba keluar dari Singapura dengan berenang ke Malaysia.


Mereka meletakkan beg sampah atas kepala untuk menyembunyikan diri, menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan.

Kira-kira jam 4.40 pagi tadi, pegawai-pegawai di Pusat Pemeriksaan Woodlands ternampak dua beg sampah hitam terapung dekat pantai di Tambak Johor.

Mengesyaki sesuatu, pegawai-pegawai itu melakukan pemeriksaan dan mengesan dua orang sedang berenang berhampiran pantai menghala ke Malaysia.

Siasatan awal menunjukkan, dua pesalah imigresen itu telah tinggal melebihi tempoh di Singapura.

ICA memandang serius cubaan tinggal melebihi tempoh, memasuki atau keluar dari Singapura secara haram.

Di bawah Akta Imigresen (Bab 133), hukuman untuk tinggal melebihi had masa atau masuk secara haram ialah penjara sehingga enam bulan serta minimum tiga sebatan, sementara kesalahan kerana berlepas keluar secara haram adalah denda hingga S$2,000 (S$1=RM3), penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.