HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 November 2015

Penipu hidup tidak tenteram

DETIK DAILY




"SIAKAP senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri". Beginilah pantun dua kerat popular dalam kalangan masyarakat kita. Ada juga tangan-tangan nakal lagi kreatif yang mengubah suai pantun ini menjadi "siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri".

Pantun ini mungkin ada benarnya dan mungkin juga salah. Namun, apa yang pasti bohong, tipu atau dusta adalah sifat yang tercela. Inilah sifat buruk yang menjadi pintu kepada keburukan lain. Tidak ada manusia yang suka ditipu. Bahkan penipu pun akan marah jika dia pula ditipu.

 Sifat penipu

Sifat penipu yang ada kepada seseorang boleh menjerumuskannya kepada keburukan yang lain. Ibn Mas’ud meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sifat benar akan membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa kepada syurga.

Seseorang yang bersifat benar sehinggalah dia akan dicatat sebagai orang yang benar di sisi ALLAH SWT. Sesungguhnya sifat berbohong akan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan akan membawa kepada neraka. Seseorang yang suka bersifat bohong sehinggalah dia dicatat di sisi ALLAH sebagai pembohong". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Menipu ada kaitan yang sangat dekat dengan sifat munafik. Abdullah bin ‘Amr Ibn Al-‘As meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: "Empat perkara, sesiapa ada padanya maka dia adalah munafik yang sebenar dan sesiapa yang terdapat padanya satu perkara daripadanya, maka padanya ada satu sifat munafik sehinggalah dia meninggalkannya: apabila diberi amanah dia khianat, apabila bercakap dia menipu, apabila berjanji dia mungkir dan jika berselisih dia curang". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sifat menipu pun merosakkan sistem kehidupan umat terdahulu. Perhatikan apa yang wujud dalam kalangan penduduk Madyan dalam ayat berikut: "Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib.

ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan ALLAH, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu.

Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah ALLAH menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". (Surah Al-‘A’raf: 85)

Nabi Syuaib diutuskan khas kepada kaum Madyan. Selain seruan ke arah tauhid, menjauhkan syirik, penduduk Madyan diingatkan supaya jangan menipu, tegakkan keadilan, jangan menafikan hak orang lain dan jangan lakukan kerosakan di atas muka bumi.

Antara jenayah dan sifat buruk yang berlegar dalam kalangan penduduk Madyan ialah menipu dalam sukatan dan timbangan. Sikap ini merosakkan nilai keharmonian dalam masyarakat mereka.

Peniaga yang tidak jujur. Sanggup menipu dengan sukatan barang jualan demi meraih untung yang banyak. Justeru, apabila Nabi Syu’aib diutuskan kepada kaum Madyan, antara seruan khusus yang lakukan ialah supaya menyempurnakan sukatan dan timbangan.
 
Undang kerosakan 

Hari ini, jika amalan buruk ini masih dibiarkan berleluasa, ia seolah-olah mengundang kerosakan ke dalam masyarakat kita. Bayangkan apa yang akan berlaku di masa hadapan, jika wajah penipu memenuhi segenap ruang dalam masyarakat kita? Lebih parah lagi jika wajah-wajah itulah yang menghiasi teraju kepimpinan sama ada di peringkat bawah mahu pun kepimpinan negara.

Kali pertama seseorang itu menipu, walau pun berjaya, pasti dia akan meninggalkan rasa gelisah dalam jiwa. Jika rasa gelisah itu tidak diambil berat, lalu diabaikan begitu sahaja, ia akan mendorong kepada penipuan kali kedua, ketiga dan seterusnya. Sehinggalah menipu menjadi sebati dan larut di dalam dirinya.

Hubungan suami isteri boleh tercalar disebabkan tipu. Sama ada suami menipu isteri atau sebaliknya. Sikap tidak jujur sesama pasangan jika dibiarkan menjadi amalan akan mengundang akibat yang menyakitkan.

Bermasam muka, berperang mulut, bertumbuk terajang atau bercerai berai. Ini semua boleh berlaku berpunca daripada sikap berbohong. Seorang anak yang mula berani menipu ibu bapanya, kehidupannya akan terdedah kepada kejahatan yang lain.

Bermula dengan menipu, lalu dia berkemungkinan membawanya menjadi anak derhaka kepada ibu bapanya.

Peniaga yang menipu dalam jualan mereka, sudah pasti rezeki yang diperoleh akan jauh daripada nilai keberkatan. Barang tiruan dikata asli. Timbangan yang kurang dikata cukup. Barang rosak dikata elok. Produk lama dikata baharu.

Barang tempatan dikata import. Dibekalkan barang murah tapi buat tuntutan wang dengan harga tinggi dan pelbagai lagi bentuk penipuan yang dilakukan. Walaupun mungkin mendapat untung yang banyak, tapi ia masih tidak mencukupi. Kehidupan dirundung seribu satu masalah. Walau pun dia masih mampu tersenyum gembira, namun ketenangan sunyi daripada jiwanya.
 
Agamawan menipu? 

'Orang agama' juga tidak terlepas daripada jenayah menipu. Membuat tafsiran al-Quran yang salah dan menyebarkan hadis palsu adalah satu penipuan. Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan kesucian agama, bahkan boleh mengelirukan masyarakat.

Begitu juga mereka yang menggunakan nama agama untuk kepentingan dan kemewahan peribadi. Orang ramai dikelirukan dengan imej mereka yang berserban berjubah, tetapi seruan mereka tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW.

Orang ramai yang ada keinginan untuk mendekatkan diri dengan kehidupan beragama tidak dibawa untuk membesarkan ALLAH dan Rasul-Nya. Tetapi mereka dibuat supaya mengagung-agungkan tok syeikh dan tuan guru mereka. Inilah musibah dalam agama akibat penipuan yang dilakukan oleh 'orang agama' sendiri.

Kemudian, sikap menipu ini jika ada pada diri pemimpin, kesannya bertambah dahsyat. Semakin tinggi kedudukan pemimpin dan dia menipu, maka semakin buruklah kesannya. Bukan sahaja kredibiliti pemimpin akan rosak, bahkan kepercayaan rakyat kepadanya akan hilang. Urus tadbir negara menjadi tidak telus.

Janji dan manifesto tidak dipedulikan. Peraturan dan undang-undang tidak dipandang. Wang negara hilang melayang. Perasaan rakyat bertambah bimbang. Kestabilan negara boleh jatuh kecundang.

Kita mendambakan pemimpin yang bercakap benar dan jujur dalam pemerintahannya. Pemimpin yang bercakap benar, kebaikan bukan sahaja untuk dirinya, bahkan akan melimpah jua kepada rakyat jelata dan negara. Rakyat tidak mencurigai kata-katanya.

Tidak ada muslihat di sebalik tindak tanduknya. Kasih sayang rakyat kepadanya semakin bertambah. Sifat benar pemimpin membuka pintu keberkatan dan kebaikan kepada rakyat dan negara.

Penipu, mungkin dia bijak menipu seseorang dalam satu masa. Tetapi, mustahil untuk penipu menipu semua orang dalam satu masa. Si penipu, mungkin dilihat boleh bergerak ke sana sini. Hidup seperti biasa seperti tiada apa-apa. Namun, percayalah, si penipu hatinya tidak akan pernah tenteram. Sementara ALLAH masih belum membuka tembelang si penipu, insaf dan bertaubatlah.
 
 

Tiada ulasan: