FERNANDO FONG
Khairy berkata tiada
perjanjian bertulis yang menyatakan mesyuarat perwakilan tiga sayap itu
perlu dirasmikan pemimpin nombor dua parti itu. - Foto TRP/ Daniel Chan
KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberi jaminan, keputusan untuk ketua sayap merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, bukan cubaan untuk menutup mulut Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bagi pihak sayap saya, saya beri jaminan tiada niat untuk senyapkan sesiapa,” kata Menteri Belia dan Sukan itu, hari ini.
Khairy berkata, keputusan itu yang
dilihat sebagai memecah tradisi, di mana Timbalan Presiden Umno lazimnya
merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri secara
serentak, pada Perhimpunan Agung Umno setiap tahun, bukan sesuatu yang
luar biasa.
Ini kerana, jelasnya, tiada perjanjian
bertulis yang menyatakan mesyuarat perwakilan tiga sayap itu perlu
dirasmikan pemimpin nombor dua parti itu.
“Cuma kami memutuskan untuk melakukannya dengan cara lain tahun ini.
“Kami
berpendapat ia lebih sesuai untuk ketua sayap merasmikan mesyuarat
perwakilan itu,” katanya selepas menghadiri majlis Pemakaian Pangkat
Bersekutu Jabatan Sukarelawan Malaysia kepada pemimpin muda di bawah
Kesatria Muda Keselamatan (KMK), di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Najib
Razak mengumumkan, mesyuarat tiga sayap itu akan dirasmikan ketua
masing-masing, selepas Majlis Tertinggi Umno menerima cadangan daripada
tiga ketua sayap terbabit.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata,
beliau tidak percaya keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi Umno itu
bertujuan menghalang Muhyiddin daripada bercakap kepada perwakilan.
Pagi tadi, Setiausaha Agung Umno, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan sebagai berkata, Majlis
Tertinggi Umno belum memutuskan sama ada akan membenarkan Muhyiddin
berucap pada Perhimpunan Agung Umno, bulan depan.
Ini kerana, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan di Parlimen, semalam.
Perhimpunan Agung Umno dijadualkan bermula 8 Disember ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Khabar angin kencang bertiup mengenai
pemecatan Muhyiddin, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diadakan
semalam, yang tidak dihadiri Ahli Parlimen Pagoh itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan