KUALA LUMPUR- Lima soalan ditanyakan kepada Mohamed Basheer Noor Alhaq dan enam soalan kepada Shamsidar.

Peguam Latheefa Koya berkata, perkara ini membuang masa dan banyak lagi yang perlu dibuat polis daripada memanggil individu yang tidak bersalah.

“Siasatan ini satu perbuatan membuang masa, banyak lagi kes yang jauh lagi serius melibatkan menteri tetapi ini membuang masa banyak pihak.

“Kita ada banyak lagi jenayah yang perlu diberi penekanan, kami terpaksa meluangkan masa untuk menghadapi siasatan terhadap seorang budak berumur 15 tahun yang tidak bersalah dan ibunya, hanya untuk menekan Azmin sebagai pemimpin politik yang menentang kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas satu jam setengah sesi soal siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Seorang lagi peguam kepada isteri Azmin, Shamsidar Taharin, iaitu Mohd Radzlan Jalaludin berkata anak guamnya disiasat dan diambil keterangan kerana membawa Basheer ke perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

“Siasatan polis hanya berkaitan penglibatan dua beranak itu ke perhimpunan Bersih 4, sama ada Basheer dibawa bersama ke perhimpunan tersebut atau tidak, kita memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya.

Latheefa Koya menambah, perlu diingatkan merujuk seksyen 4 dalam Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak telah termaktub hak mereka untuk mengikuti himpunan aman.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (2) (F) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa kanak-kanak, namun mereka masih belum dikenakan sebarang dakwaan.


Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika mengiringi anaknya, Basheer mengingatkan Umno supaya tidak mengganggu keluarga dan anaknya.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, mereka harus berdepan dengannya bukan keluarganya.