HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 November 2015

Untung jadi pembangkang, kata SPRM

Untung jadi pembangkang, kata SPRM
Abdul Samat Kasah (kanan), ketika menjadi panel pada Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor, di Shah Alam, hari ini.
 
 
SHAH ALAM – Pembangkang disifatkan beruntung kerana lebih terhindar daripada gejala rasuah yang sering menghimpit golongan memegang tampuk kuasa.

Namun, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah berkata, rasuah akan datang juga sekiranya pembangkang menang dalam mana-mana pilihan raya.

“Rasuah ini bukan dari segi siapa atau parti politik mana...yang penting dia mesti ada kuasa. Sebab itu pembangkang jarang kena kecuali apabila dia (pembangkang) menang (pilihan raya) dan jadi kerajaan. Sebab rasuah ini memang jadi sebab ada kuasa. Tiada kuasa, tiada isu rasuah. Insya-ALLAH bersih.

“Sebab itu jadi pembangkang ini, untung satu sahaja, dia tidak ada isu rasuah tetapi pada saat dia memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan hari itu, cabaran dia datang,” katanya pada Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, banyak kes melibatkan anggota pentadbiran berlaku sepanjang tempoh ini termasuk ahli Parlimen, Adun, Exco, menteri besar dan menteri.

“Anggota pentadbiran ini menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan. Kes melibatkan ahli-ahli Parlimen, Adun, Exco, menteri besar dan sebagainya. Semua kita siasat dan ada yang dituduh dan didapati bersalah.

“Ini semua kita jadikan contoh iaitu bukan orangnya tapi kejadiannya. Ada yang menggunakan kuasa dengan meluluskan tanah kepada seorang wanita yang ketika itu mereka belum berkahwin pun tapi dia telah mengadakan majlis pertunangan, berbincang dan telah menetapkan tarikh (pernikahan).

“Sebelum dia kahwin lebih kurang dalam dua minggu, dia telah meluluskan tanah kepada wanita itu. Memang kalau ikut undang-undang semasa kejadian wanita itu bukan isterinya tapi mahkamah mendapati niatnya semasa dia meluluskan tanah kepada bakal isterinya,” katanya.

Tegasnya, siasatan dan tindakan yang dikenakan tidak mengambil kira status pelaku.

“Bukan nak bela mana-mana pihak. Polis pun ada yang jahat ada yang baik. Ini sebab  kita dilahirkan dalam kelompok manusia yang sama.

“Pegawai SPRM pun ada yang kena tangkap sebab rasuah. Ini bukan sesuatu yang saya banggakan tapi saya kena sebut. Rasuah ini tak kenal latar belakang. Hakim, majistret, ustaz pun ada,” katanya.


Tiada ulasan: