Oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pusat
Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan lebih banyak parti-parti,
badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan tokoh-tokoh perseorangan akan
menyertai blok politik baru yang diusahakan oleh PAS dan IKATAN.
Penyertaan kumpulan-kumpulan tersebut akan menjadikan blok ini 'berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah' dengan blok-blok yang lain, malah
berkemungkinan ia akan menjadi lebih besar.
Pembentukan Blok Ketiga ini, biarpun dipandang sinis oleh pihak-pihak tertentu, diyakini akan menjadi 'pembesar suara' kepada parti-parti kecil, NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan. Sebelum ini, suara kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh ini yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat tidak begitu didengari disebab jangkauan mereka yang begitu terbatas. Dengan wujudnya Blok Ketiga suara mereka akan menjadi bergema dan sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat yang diwakili.
PPP
melihat selepas PRU ke 13 tahun 2013, muncul banyak parti-parti kecil
yang mewakili pelbagai segmen masyarakat. Terdapat parti yang mewakili
segmen suku kaum seperti Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti
Bersatu Bugis Sabah dan Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru).
Terdapat pula parti-parti yang membawa citarasa baru rakyat seperti
Parti Generasi Baru (NewGen Party) dan Parti Nasional Penduduk
Malaysia. Dianggarkan tidak kurang dari 20 parti baru telah didaftarkan
sejak 2013.
NGOs dan tokoh-tokoh
perseorangan di Malaysia juga semakin mempunyai pengaruh yang cukup
besar untuk mencorakkan landskap politik Malaysia. Meskipun NGOs dan
tokoh-tokoh perseorangan tidak menyertai politik secara langsung,
tetapi suara mereka mula bergema sehingga memungkinkan ia merubah corak
dan budaya politik dalam negara ini. Contoh yang paling menonjol hari
ini ialah gabungan ratusan NGOs dan puluhan tokoh-tokoh perseorangan di
bawah Kongres Rakyat yang tampil memperjuangkan isu-isu nasional
seperti TPPA dan DLP.
PPP melihat
keterbukaan PAS untuk duduk semeja dengan mana-mana kumpulan dan tokoh
yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat adalah satu usaha
untuk mengangkat suara mereka di peringkat Nasional. Kemunculan
kumpulan-kumpulan ini, mungkin dianggap sifar oleh sesetengah pihak,
tetapi apabila suara-suara mereka digabungkan ia akan bergema.
Blok-blok politik yang angkuh perlu diingatkan keangkuhan mereka boleh
sahaja diranapkan oleh kuasa sifar, kerana sebarang angka yang
didarabkan dengan sifar akan menjadi sifar pula.
* Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan