PUTRAJAYA: Insiden letupan bom di Brussels, Belgium menjadi peringatan
kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa keganasan tidak akan
berakhir selagi tidak berusaha bersungguh-sungguh membanterasnya, kata
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun dalang
insiden tersebut masih belum dikenal pasti namun dipercayai adalah
angkara pengganas.
“Apa yang berlaku mengingatkan kita terhadap kejadian serupa yang
menimpa Paris, Jakarta, Turki dan beberapa tempat lain, yang kita
percayai adalah angkara pengganas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ahmad Zahid turut merakamkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa yang terbabit dalam serangan itu.
“Kita sentiasa bersama-sama dengan masyarakat di Belgium dan menyokong
sebarang tindakan yang bakal diambil bagi mencari mereka yang
bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan, sekaligus menghadapkan
mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan Malaysia
mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Brussels
yang telah meragut 28 nyawa.
Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan