HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Mac 2016

Keluarga Anwar mahu bawa hak lawatan ke mahkamah

MALAYSIAKINI




Keluarga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan di mahkamah mengenai hak lawatan di penjara Sungai Buloh.

Anaknya, Nurul Izzah yang juga adalah ahli parlimen Lembah Pantai berkata bekas timbalan perdana menteri itu adalah banduan politik seperti yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Human Rights Watch dan Amnesty International.

"Sebagai ahli keluarga, kami hanya dibenarkan lawatan sekali dalam tiga minggu, selama 45 minit dan ini adalah melalui tingkap kaca," katanya.

Perkembangan ini berikut kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen semalam bahawa Anwar menikmati faedah khas yang tidak diberikan kepada banduan lain.

"(Anwar) dibekalkan dengan makanan yang disyorkan oleh pakar seperti bijirin, susu rendah lemak, kurma dan madu," kata Zahid ketika menggulung perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat sermalam.

Menurut Zahid yang juga adalah timbalan perdana menteri, sehingga 13 Mac lalu, Anwar dibenarkan mengadakan 360 kali perjumpaan dan menerima 152 pemeriksaan kesihatan dan rawatan di penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Anwar hari ini mempertikaikan bahawa dia diberikan sebanyak 360 lawatan.

Bercakap melalui seorang daripada bekas peguamnya, Latheefa Koya, beliau berkata "ini tidak logik".

"Ahli-ahli keluarga saya dibenarkan untuk berjumpa dengan saya sekali dalam tiga minggu, manakala peguam melawat saya seminggu sekali," katanya.

Ini adalah pembohongan semata-mata, kata Anwar.

Tiada ulasan: