SHAH ALAM: Pemimpin politik hari ini dilihat gagal meletakkan perpaduan
dan kemajuan bangsa serta negara sebagai keutamaan akibat terlampau
mementingkan perjuangan peribadi, demikian pendapat Prof Dr Mansor Mohd
Nor.
Ketua Kluster Perpaduan Nasional itu berkata demikan mengulas tindakan
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai
tanda protes terhadap kepimpinan presidennya, Datuk Seri Najib Razak,
pada Isnin.
Tambah Mansor, mutakhir ini isu demi isu ditimbulkan namun tiada
penyelesaian tuntas diambil hingga menyebabkan parti-parti yang terlibat
goyah dan tidak fokus kepada usaha menabur bakti kepada rakyat.
"Semenjak zaman reformasi hingga ke hari ini, saya perhatikan
masyarakat Melayu bukannya mahu membina negara atau kepentingan kita
bersama.
"Namun dilihat seperti mahu menghancurkan negara dan kepentingan
bersama. Sebab kita tidak jumpa penyelesaian ke atas masalah yang kita
hadapi dan gagal berbincang masalah. Akhirnya kita bertindak melahirkan
serpihan demi serpihan dalam parti," katanya ketika dihubungi Antarapos,
hari ini.
Mahathir ketika mengumumkan dirinya keluar Umno beralasan Umno bukan
lagi sebuah parti, sebaliknya kini 'diubah' untuk menjadi parti yang
mempertahankan Najib sebagai presidennya.
Ini bukan kali pertama Mahathir mengumumkan keluar parti, kerana pernah
berbuat demikian pada 2008 juga sebagai tanda protes terhadap
pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Minggu lalu juga senario politik negara tegang apabila Umno mengambil
tindakan menggantung jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno apabila gagal
menjalankan tugas membantu Presiden dan parti.
Mansor, turut menyebut Pakatan Harapan (PH) yang padanya berdepan dengan perbalahan sesama parti komponennya.
Umum mengetahui hubungan DAP dan PKR berada keadaan tegang buat masa
ini akibat tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memecat dua
ADUN PKR daripada jawatan pengarah di dua syarikat berkaitan kerajaan
(GLC) Pulau Pinang.
Keputusan itu dibuat selepas dua ADUN itu tidak menyokong usul kerajaan
negeri pada sidang DUN November lalu untuk menebus guna tanah pinggir
laut, yang membuatkan Guan Eng berang.
Tindakan Guan Eng ditegur Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali
yang kemudiaanya menambah burukkan lagi pergeseran antara PKR dan DAP.
Mengulas perkembangan itu, Mansor bertegas masyarakat Melayu adalah
yang paling terkesan akibat perbalahan politik yang tidak berkesudahan
ini.
"Politik bertujuan membangunkan sesuatu, membina kekuatan dan perpaduan serta kemajuan. Kalau begini, apakah matlamatnya?
"Tidak kira parti politik mana pun, termasuklah dalam kes Umno, apabila
berlakunya perpecahan, jika tidak boleh duduk berbincang cari
penyelesaian dan mengikat kembali, mana-mana parti akan hancur," katanya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan