Wan Azizah Wan Ismail
SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini mengumumkan akan memanggil satu sidang rundingan dengan semua pihak yang mahu turut serta dalam usaha menyelamatkan negara ini.
Melalui satu kenyataan bersama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menghormati suara rakyat yang mahukan kepentingan dan perbezaan politik diketepikan demi menyelamatkan negara.
“Pakatan Harapan juga mempertahankan kehendak rakyat supaya sebarang perubahan mestilah melibatkan reformasi institusi yang menyeluruh, bukannya setakat menukar Perdana Menteri tetapi mengekalkan sistem sedia ada.
“Pakatan Harapan mengalu-alukan semua pihak untuk merangka kempen bersama yang akan digerakkan secara bersepadu melibatkan semua golongan dan kumpulan rakyat. Butir-butir sidang rundingan ini akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 7 Mac ini di Parlimen,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Pakatan Harapan turut menyifatkan pendirian bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan.
“Kenyataan-kenyataan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin setakat ini ada menunjukkan kecenderungan mereka menerima hakikat bahawa sistem kerajaan yang memusatkan kuasa di tangan Perdana Menteri adalah berbahaya.
“Pendirian itu secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang menyeluruh,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan meninggalkan Umno buat kali kedua sebagai tanda protes kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelumnya, Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan