HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Mac 2016

Tanda tangan deklarasi: Mahfuz sedia dikenakan tindakan oleh PAS

 Oleh Shuhaniza Said & Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan kehadirannya ke majlis menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Datuk Seri Mohd Najib Razak, adalah atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili parti.  
 
Walaupun tidak senada dengan pendirian parti yang enggan terlibat dalam gerakan tersebut, Mahfuz berkata, beliau hadir sebagai rakyat Malaysia yang 'insaf' dengan isu serta permasalahan yang berlaku dalam negara kini.
 
Mahfuz juga berkata beliau sedia menerima apa jua yang bakal diputuskan kepimpinan tertinggi parti ekoran kehadirannya di majlis berkenaan.      
 
"Itu biasa, kalau mereka (parti) nak buat apa-apa, tak ada masalah.
 
"Ramai lagi (pemimpin PAS yang hadir). Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat. Malaysiakini kata saya melawan arus, rupanya ada lagi yang besar dari saya yang lawan arus," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir di majlis berkenaan.
 
Selain Mahfuz, antara pemimpin PAS yang turut kelihatan hadir menandatangani deklarasi berkenaan adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali; Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
 
Keempat-empat mereka mengambil pendekatan bertentangan dengan pendirian parti yang mengumumkan tidak akan terlibat dengan deklarasi untuk menyingkirkan perdana menteri itu.  
 
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu tidak turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi berkenaan.
 
Takiyuddin berkata, PAS mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.
 
Mahfuz berkata, pada ketika ini semua parti perlu mengenepikan ideologi politik masing-masing dan menumpukan kepada perkara pokok, iaitu mendesak penyingkiran Najib. 
 
Katanya, menandatangi deklarasi ini bukanlah satu cara yang tidak berdemokratik, malahan ia tidak bercanggah dengan undang-undang. 
 
Sementara itu, Mustafa turut memberi alasan senada dengan Mahfuz ketika ditanya mengenai kehadirannya pada majlis.
 
"Tun (Mahathir) dah kata ini tak ada kena mengena dengan parti politik," katanya ringkas.
 
Bagi bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, tindakan Dr Mahathir ini adalah langkah pertama untuk pembangkang bagi memastikan impian mereka untuk melihat Najib meletakkan jawatan.
 
"Meminta Najib meletakkan jawatan adalah langkah yang pertama yang perlu disokong," katanya.

Menurutnya, langkah Dr Mahathir ini bertujuan untuk menyelamatkan negara yang kian dihimpin dengan kemelut pimpinan Umno.


Tiada ulasan: