HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Oktober 2016

Sambil mendoakan kesihatan Hadi, Anwar tegaskan keperluan pembangkang bersatu [TONTON VIDEO]

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sambil mendoakan kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kepentingan parti pembangkang untuk bersatu bagi membentuk gabungan yang mantap.
 
"Saya kirim salam kepada Tok Guru Hadi dan doakan beliau, keduanya kesediaan untuk berunding. Itu permulaannya. 
 
"Kesediaan semua pihak. Kita dalam Pakatan Harapan, tapi sedia berunding dengan semua sebab itu kita jemput semua termasuk Bersatu (PPBM) untuk berunding," katanya. 
 
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas pendengaran kes qazaf beliau di Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Lumpur, semalam.
 
Hadi dibenarkan keluar pagi ini selepas dimasukkan ke IJN pada 1 Oktober lalu untuk rawatan susulan.  
 
Ketua Umum PKR itu berkata, semua pihak perlu bersedia ke arah itu, termasuk PAS.
 
Beliau juga bersetuju rundingan dibuat antara Pakatan Harapan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS bagi mengukuhkan pembangkang.
 
PAS baru-baru ini bagaimanapun meletakkan syarat kepada parti pembangkang lain yang mahu menjalinkan kerjasama dengan mereka supaya meninggalkan DAP terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan atau perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk PRU14 dilakukan. 
 
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata parti itu akan menolak mana-mana parti politik yang mendukung serta bekerjasama dengan musuhnya DAP.
 
Malah menurut Nasrudin, parti-parti berkenaan seharusnya mempunyai semangat setia kawan serta memenuhi syarat mudah dengan menghormati prinsip perjuangan serta tidak menentang Islam yang diperjuangkan oleh parti itu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: