HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Pengerusi PKR Sabah Umum Keluar Parti

 

 



Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin mengesahkan keluar daripada PKR berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana beliau sudah hilang keyakinan dengan kemampuan PKR untuk mendapat sokongan rakyat Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kami sudah bekerja keras untuk memimpin PKR di Sabah, bagaimanapun suara rakyat Sabah sendiri yang mahukan parti-parti Sabah bergabung untuk menjaga kepentingan mereka.

“Kami harap keputusan ini diterima secara terbuka,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penyokongnya di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

“Saya bukan keluar seorang diri. Saya disertai oleh barisan pimpinan kanan dan pimpinan muda PKR serta DAP Sabah.

“Saya percaya akan lebih ramai pemimpin dan aktivis politik bersama kita tidak lama lagi. Kami mahu menjadi alat kepada rakyat Sabah dalam memperjuangkan kepentingan mereka,” katanya lagi.

Tindakan Lajim itu disertai oleh Ketua Penerangan PKR Sabah yang juga Adun Moyog, Terrance Siambun; Setiausaha PKR Sabah, Datuk Majjol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani.

Lajim dan sekumpulan besar penyokong PKR dijangka menyertai sebuah parti baharu.

Dalam pada itu, Adun Likas daripada DAP, Wong Hong Jun (Junz Wong) yang menyatakan hasrat mengikuti perjuangan politik Lajim turut mengumumkan keluar daripada DAP.

Junz Wong adalah Setiausaha DAP Sabah.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua melahirkan rasa kesal dengan tindakan Lajim membuat keputusan keluar parti itu.

“Pimpinan tertinggi PKR telah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Lajim Ukin bersama beberapa yang lain telah membuat pengumuman hari ini untuk beralih ke platform parti yang berbeza. Kami kesal dengan keputusan Datuk Lajim ini.

“Pada masa yang sama, satu proses penambahbaikan organisasi parti akan dilaksana dalam masa terdekat untuk memantapkan saf kepimpinan serta memastikan agenda reformasi terus menjadi teras perjuangan menegakkan keadilan di Sabah,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada 22 September lalu, Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan mengisytiharkan keluar parti itu menyertai parti tempatan yang sedang diambil alih oleh bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Tiada ulasan: