Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) ditubuhkan bukan untuk
bertanding pada pilihan raya umum akan datang, demikian tegas
presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Justeru, katanya soal pembahagian kerusi antara parti itu bersama PAS
tidak timbul kerana IKATAN tidak pernah membincangkan perkara berkenaan.
"Kami di IKATAN masa saya lancarkan parti dua tahun lalu, saya ada
nyatakan bahawa IKATAN adalah sebuah parti untuk generasi akan datang
dan bukan parti pilihan raya akan datang. Jadi setakat ni dalam Gagasan
Sejahtera, kami tak pernah bincang langsung dari segi pilihan raya atau
pembahagian kerusi," katanya kepada Antarapos.
Malah ujar Kadir, beliau secara peribadi tidak berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Soal pembahagian kerusi untuk PRU14 antara PAS dan IKATAN mula timbul
selepas parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan untuk memenangi
sebanyk 40 buah kerusi Parlimen.
Permintaan PAS ini selepas melihat kerusi yang dimiliki parti itu tidak seimbang antara DAP dan PKR.
Pada PRU lalu PAS hanya menang 21 kerusi daripada 76 kerusi yang
ditandingi, DAP bertanding 51 kerusi dan menang sebanyak 38 kerusi dan
PKR pula menang 30 kerusi daripada 99 kerusi.
Sehubungan itu, timbul tanda tanya memandangkan PAS kini bekerjasama
dan membentuk blok pembangkang ketiga bersama-sama IKATAN pada Mac 2016.
Walau bagaimanapun tambah Kadir lagi, beliau tidak menolak kemungkinan
sekiranya parti pimpinannya itu diajak untuk menyertai PRU akan datang.
"Mungkin dekat-dekat pilihan raya ada (tetapi) kita tengok keadaanlah.
"Itu masa akan tentukan, bila sampai waktunya kita akan tentukan
kedudukan tetapi saya sendiri sebagai presiden tak nak bertanding,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan