Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan tindakan beberapa individu tidak bertanggungjawab mengeksploitasi kemudahan masjid bagi tujuan demonstrasi di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, pada Selasa lepas.
Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan semalam menjelaskan hasil siasatan berhubung penglibatan beberapa buah van jenazah milik masjid kariah dalam demontrasi yang diketuai Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Beliau berkata, siasatan awal JAIS mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi dan mengambil kesempatan ke atas pengurusan van jenazah dalam demonstrasi berkenaan.
“Pihak JAIS dimaklumkan bahawa terdapat beberapa individu yang mendakwa dari Gabungan NGO Selangor telah menghubungi pihak masjid untuk menyewa van jenazah bagi tujuan antara lain untuk sesi penggambaran, kempen antijudi, pameran dan sebagainya.
“Van jenazah yang dimiliki oleh agensi Persekutuan yang disumbangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dan van jenazah yang dimiliki oleh Badan Khairat Kematian yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan tidak dikawal oleh masjid kariah,” katanya.
Serentak itu, beliau menggesa semua ahli jawatankuasa masjid supaya lebih berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu program yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan institusi masjid disalahguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan