ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang perlu menyokong usaha kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said,
berkata sebagai Ahli Parlimen yang berpengalaman, Kit Siang yang juga
Ahli Parlimen Gelang Patah tidak harus mempolitikkan penubuhan pasukan
petugas khas itu.
"Kit Siang seharusnya menjadi orang pertama menyokong penubuhan pasukan petugas khas yang dipersetujui oleh Kabinet kelmarin.
"Ini kerana beliau begitu lantang di Dewan Rakyat mengemukakan pelbagai
usul termasuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada
sekitar 1990-an.
"Ini adalah peluang terbaik untuk Kit Siang membuktikan bahawa usul
yang dibawa pada tahun 1993 dan 1994 berkaitan isu ini di Dewan Rakyat
itu berasas.
"Beliau seharusnya tampil untuk membantu 'Task Force' (pasukan petugas
khas) ini dalam meneliti semua fakta yang berkaitan atau adakah beliau
telah mengelirukan Dewan pada masa itu?" katanya dalam kenyataan hari
ini.
Sehubungan itu, katanya, Kit Siang perlu konsisten dengan pendiriannya
dalam isu itu kerana kecenderungannya untuk berubah prinsip serta
pendirian akan dinilai penyokong DAP.
"Keputusan Kabinet menubuhkan Task Force itu membuktikan yang kerajaan
sentiasa terbuka dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan negara,"
katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan tetap berpegang kepada prinsip kedaulatan
undang-undang dalam menyiasat segala perkara untuk memastikan tiada
sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan dalam tadbir urus negara.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga sentiasa bersandarkan
kepada prinsip keadilan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan
bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan