Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pemilihan Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan
Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Datu adalah tepat
kerana ia dilakukan dengan mengambil kira suara akar umbi.
Pemerhati politik, Datuk Seri Azman Ujang berkata, Jamilah juga calon
yang paling sesuai bagi meneruskan tugas serta khidmat bakti bekas
penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, kepada
rakyat tempatan.
Jamilah, 62, yang juga merupakan balu Adenan, semalam diumumkan sebagai
calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi mempertahankan kerusi
yang dipegang suaminya sebelum ini.
"Adalah menjadi hasrat Allahyarham yang diberi lima tahun untuk
menjalankan tugas, bukan saja sebagai ADUN dan Ketua Menteri, jadi
sekurang-kurangnya sekiranya Puan Sri Jamilah dipilih, beliau dapat
meneruskan tugas arwah suaminya sebagai wakil rakyat Tanjung Datu.
"Saya difahamkan pemilihan beliau adalah berdasarkan kepada permintaan
akar umbi kawasan itu," katanya kepada Antarapos, mengulas mengenai
pemilihan Jamilah untuk bertanding di kerusi DUN Tanjung Datu.
Mengulas lanjut, Azman tidak menolak faktor 'keselesaan' menjadi sebab
mengapa akar umbi menyokong pemilihan Jamilah kerana sudah 'terbiasa'
dengan kelibat wanita itu yang sering mendampingi Adenan dalam setiap
program sebelum ini.
Beliau turut merujuk kepada pemilihan Datin Mastura Yazid sebagai calon
sebelum ini, yang dipilih bagi mempertahankan kerusi yang disandang
suaminya, Allahyarhan Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, pada PRK Kuala
Kangsar, Jun lalu.
"Ini juga baik dari segi menambah bilangan wanita dalam politik negara," katanya.
Setakat ini, PKR dan PAS mengumumkan tidak bertanding pada PRK berkenaan.
Sementara itu Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen turut membayangkan partinya juga tidak bertanding.
Amanah pula akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi memutuskan sama
ada akan meletakkan calon atau tidak di kerusi berkenaan.
Ketika diminta mengulas mengenai peluang Jamilah pada PRK berkenaan,
Azman yang juga Pengerusi Bernama melahirkan keyakinan calon berkenaan
mampu mempertahankan kemenangan memandangkan Tanjung Datu merupakan kubu
kuat BN.
"Kalau ada pertandingan, BN boleh menang dengan mudah, sebab itu kubu kuat.
"Tapi pertandingan baik juga untuk amalan demokrasi," katanya lagi.
Kerusi DUN Tanjung Datu kosong susulan kematian penyandangnya yang juga
Ketua Menteri Sarawak kelima, Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi
jantung, 11 Januari lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) 7 Mei tahun lalu, Allahyarham
mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan, yang juga kubu kuat BN
Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR,
Jazolkipli Numan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan
calon pada 4 Februari, pengundian awal pada 12 Februari manakala hari
pembuangan undi pada 18 Februari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan