Oleh Azizul Osman
PUTRAJAYA: Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi
MARA, selesai memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) hari ini.
Disoal siasat lebih empat jam, Annuar berkata beliau sedaya upaya
memberikan kerjasama kepada SPRM untuk memudahkan kerja-kerja
penyiasatan dakwaan penyelewengan kuasa membabitkan MARA atau Majlis
Amanah Rakyat itu.
Annuar terdahulu didakwa menyalah guna kuasa Pengerusi MARA bagi
membolehkan pasukan bola sepak Kelantan mendapat tajaan daripada
organisasi itu.
"Saya cuba memberi apa juga maklumat yang ada dalam pengetahuan saya,
sedaya upaya saya dan sepenuhnya terserah kepada SPRM dan pasukan
penyiasatannya.
"Bukti setakat mana yang saya tahu, saya menjawab soalan-soalan. Tiada
bawa bukti sebab saya tidak tahu apa yang mereka mahu dapatkan. Jadi
saya jawab setakat apa yang saya tahu berdasarkan apa yang SPRM tanya,"
katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai memberikan keterangan.
Annuar tiba di bangunan SPRM sekitar jam 9 pagi ini selepas tiba di tanah air sekitar jam 10 malam tadi.
Beliau sebelum itu memendekkan lawatan rasmi ke New Zealand dan bergegas balik ke Malaysia untuk membantu siasatan SPRM.
"Saya menguruskan bola sepak Kelantan pun kerana kepentingan orang
ramai, jadi kita lakukan yang terbaik, tapi oleh kerana tuduhan-tuduhan
ini agak serius bila katakan menyeleweng duit biasiswa, duit MARA
memaksa menaja.
"Kalau itu benar berlaku sangat buruk, sangat buruk bagi seorang
penjawat awam, wakil rakyat seorang ahli politik yang mencecah umur 60
tahun kalau kita buat kerja menyeleweng dana, duit biasiswa maka mesti
disiasat," katanya lagi.
Selain SPRM, Annuar yang bakal disiasat pihak MARA berikrar akan
memberi kerjasama dan rela disiasat sepenuhnya mengikut lunas
undang-undang demi merungkai kebenaran.
Selasa lalu, Mara mengambil keputusan menggantung tugas Annuar sebagai
Pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar bagi membolehkan
siasatan dalaman dibuat berhubung tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan.
Siasatan itu dikatakan untuk mengenal pasti sama ada Annuar melakukan sebarang salahguna kuasa berhubung tajaan berkenaan.
Isu sama dikatakan menjadi fokus siasatan SPRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan