KOTA BHARU: Walaupun telah mengadakan mesyuarat bersama Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), Rabu lalu, PAS masih belum mengesahkan sebarang
tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan parti berkenaan.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan
berhubung perkara berkenaan hanya akan diputuskan oleh Majlis Syura
Ulama PAS selepas hasil pertemuan itu dibincangkan oleh majlis itu
kelak.
"Setakat ini semua hasil perbincangan dan cadangan oleh PPBM akan
dibincangkan terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan seterusnya
diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Darul Niswah
DUN Panchor di sini, hari ini.
Rabu lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir
mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man bagi membincangkan kemungkinan kerjasama politik antara
kedua-dua parti.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis
dilaporkan sebagai berkata sebarang keputusan berhubung kerjasama
politik diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk diteliti
terutamanya dalam aspek syarak, sama ada ia boleh diteruskan atau
sebaliknya.
Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan
berkata beliau yakin Amanah tidak akan berjaya memenangi satu kerusi pun
di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau berkata berdasarkan kajian dan maklumat yang diterimanya, hanya
PAS dan Umno mampu bersaing kerana hanya dua parti ini yang dominan di
Kelantan dan diterima baik oleh pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan