SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul
Hisham Shaharin digesa menarik balik kenyataan berbaur fitnah terhadap
Istana Selangor atau berdepan tindakan undang-undang.
Tuntutan itu dikemukakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mahu
ia ditarik balik dalam tempoh 24 jam dari tarikh kenyataan media pihak
berkuasa agama itu.
Jika Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard gagal berbuat
demikian, Pengerusinya Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata MAIS akan
mengambil tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia
Malaysia atau didakwa mengikut Akta Fitnah 1957
Beliau mengulas mengenai artikel yang ditulis Chegubard bertajuk
'Pertanyaan Terbuka Buat Istana Selangor' dalam blognya, 'Perjuangan
Adalah Pelaksanaan Kata-kata' pada 6 Jun lalu yang mendakwa sebuah surau
digunakan sebagai lokasi untuk program pemukiman jentera pilihan raya
PAS.
Katanya, MAIS sudah mengarahkan satu siasatan dijalankan terhadap
dakwaan itu, dan mendapati surau itu sudah ditutup selepas Masjid Al
Falah Jalan Kebun mula beroperasi sejak 30 Mac lalu.
"Bangunan surau berkenaan kini ditukar fungsinya sebagai pusat ilmu
dan kegiatan masyarakat, dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS), yang dibuka untuk sewaan kepada orang ramai untuk pelaksanaan
program bagi menampung kos operasi masjid.
"Ini jelas menunjukkan penulis tidak menyemak terlebih dahulu fakta yang ditulisnya.
"Justeru, MAIS menegaskan, dakwaan penulis blog itu bahawa pihak
Istana Selangor bersikap berat sebelah dan terbabit dengan politik
kepartian adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan berbaur fitnah
terhadap institusi Diraja dan institusi Islam di Selangor, " katanya
dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mohamad Adzib berkata, titah Sultan Selangor supaya
masjid dijadikan sebagai zon bebas politik sudah berkuat kuasa sejak
sekian lama dan titah itu turut dipatuhi pemimpin parti politik dulu dan
kini.
Mohamad Adzib berkata, umat Islam di Selangor juga dinasihatkan
menyemak kesahihan sesuatu fakta sebelum menyebarkannya di laman sosial,
bagi mengelakkan perbalahan antara masyarakat Islam terutama ketika
sedang menjalani ibadat puasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan