HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Jun 2017

Selepas 1MDB, FGV jadi mimpi ngeri baharu Najib

Banyak urus niaga meragukan, salah laku dan pelaburan yang tidak masuk akal telah dibuat oleh pimpinan korporat FGV.


Pada minggu ini, penentang Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan pembangkang bertepuk tangan tersenyum riang.

Masakan tidak, tuduhan mereka yang dikatakan fitnah oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) mengenai FGV dan Felda kini ternyata benar.

Lain pula bagi pakcik dan makcik peneroka Felda serta pemimpin BN yang kini bertepuk dahi sambil bibir mereka muncung panjang.

Masakan tidak, jangkaan mereka mengenai pelaburan dan pajakan tanah ke atas FGV untuk mendapat untung bertukar menjadi rugi besar.

Memang terasa menyesal teramat sangat agaknya kerana mendengar pujukan Perdana Menteri, Najib Razak dan juak-juaknya supaya menyertai dan menyokong FGV kira-kira lima tahun lalu.

Lagi menyesal kerana tak termakan hasutan pembangkang dan penentang FGV supaya tidak menyertai FGV yang dinobatkan sebagai penyenaraian kedua termahal di pasaran saham selepas Facebook.

Pergolakan dalam FGV yang meletup minggu ini telah membongkar banyak perkara, khususnya kerugian besar yang dialami peneroka Felda akibat kontroversi FGV.

Banyak urus niaga meragukan, salah laku dan pelaburan yang tidak masuk akal telah dibuat oleh pimpinan korporat FGV.

Maklumat menunjukkan hutang FGV adalah sebanyak RM4 bilion tidak termasuk faedah, manakala simpanan tunai adalah sekitar RM1.8 bilion.

Walaupun asetnya iaitu tanah pajakan yang ditanam sawit bernilai besar, dianggarkan berharga sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion tetapi hasilnya masih tidak mampu menampung pembayaran hutang beserta faedah.

Sebab itu kita pernah dengar ada ura-ura Pengerusi Felda baharu, Shahrir Samad cuba membeli semula tanah peneroka yang dipajak kepada FGV.

Pergolakan dan kontroversi melanda FGV membimbangkan rakyat Malaysia. Ini kerana, boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mempunyai saham dalam FGV.

Empat pemegang saham utama FGV ialah Felda dengan pegangan kepentingan sebanyak 33.66 peratus dan Lembaga Tabung Haji pula dengan 7.79 peratus.

Dua pemegang saham utama lain ialah Koperasi Permodalan Felda dengan 5.8 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 5.28 peratus.

KWSP sahaja sudah mencatatkan kerugian sebanyak RM203.18 juta apabila menjual saham-saham miliknya dalam FGV pada bulan Ogos 2016. Felda sendiri mencatatkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan saham FGV, dan kemelut terbaharu ini dikatakan merugikan lagi Felda apabila sahamnya menurun.

FGV sudah menjadi mimpi ngeri BN selepas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berkemungkinan besar menguburkan kekuatan BN di kawasan luar bandar terutama di Felda.

Banyak menuding jari ke arah Pengerusi FGV, Mohd Isa Abdul Samad atas kemelut yang melanda FGV tetapi penulis memilih untuk menuding jari kepada Najib.

Kenapa dalam 2011-2012 yang lalu, beliau ‘gatal tangan’ memandai-mandai menubuhkan FGV dan memujuk peneroka memajakkan tanah untuk dijadikan aset syarikat perladangan terbesar dunia?

Selepas itu penyenaraian di Bursa Malaysia dibuat dengan harga RM4.55, iaitu kedua termahal selepas Facebook dan lihatlah siapa pembelinya?

Semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan adalah pembelinya yang diketahui pengerusi atau ketua pegawai eksekutifnya adalah lantikan Perdana Menteri juga.

Daripada awal lagi niat menubuhkan FGV oleh Najib diragui. Ada yang cakap ia untuk mengumpul dana bagi Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Entahlah. Boleh jadi juga.

Apa pun, Najib kena bertanggungjawab dalam perkara ini dan tidak boleh lepas tangan. Kasihan peneroka Felda yang menjadi mangsa dan menanggung kerugian berbilion ringgit.

Tiada ulasan: