HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 September 2017

Beri ruang dan peluang kepada mualaf

OLEH AFIX REDZUAN

IMG_20170921_213509


SHAH ALAM: Penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita sambutan Maal Hijrah 1439H, Adam Corrie Lee Abdullah, 49, mengharapkan masyarakat memberi lebih ruang dan peluang kepadanya untuk menjadi muslim lebih baik.

Selebriti yang lebih dikenali dengan lakonan filem aksi itu mengakui menyimpan hasrat untuk mengislamkan lebih ramai orang, pada masa akan datang selain dapat mendalami lebih banyak ilmu berkaitan Islam.

“Cabaran saya mengharapkan masyarakat menerima saya seadanya. Jangan mendesak dan pandang serong kepada saya. Beri saya peluang, ruang dan bimbinglah saya menjadi mualaf lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Selangor di Masjid Negeri, semalam.

Beliau berkata, aktiviti ibadah umrah secara percuma yang diberikan kepada mualaf kurang lima tahun serta berpendapatan RM1,200 menerusi pertubuhan Kembara Iman Malaysia membawa dirinya dipilih selaku penerima anugerah.

Adam Corrie berkata, sejak mula dilangsungkan pada 2015 dan 2016, hampir 70 mualaf sudah dibawa mengerjakan umrah di Tanah Suci secara percuma.

Beliau melafazkan syahadah pada 13 Julai 2007 ketika berusia 39 tahun dan mula mempelajari Islam di Puchong atas bimbingan Ustaz Zawawi.

Beliau kemudian bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan Fazima Fuad yang banyak memberikan bimbingan kepadanya, setahun kemudian.

Adam Corrie juga merupakan Presiden Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Kembara Iman Malaysia dan Persatuan Usrah Fitrah selain memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Koperasi Permodalan Mualaf.

Buku terbitan beliau pada 2015, ‘Ada Iman, Baru Syok, Ada Fight’ sudah dicetak sebanyak empat kali selain menjadi penulis tetap kolum edisi Ahad di Akhbar Metro, setiap minggu.



Tiada ulasan: