OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM: Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh
Omar perlu membuktikan dirinya bersih terlebih dahulu dalam isu
berbangkit termasuk ketika menjawat jawatan menteri kabinet.
Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafie
berkata, Noh kini dilihat terdesak hingga begitu kelam kabut memburukkan
imej Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri dengan pelbagai tuduhan
palsu, salah guna kuasa serta penyelewengan.
“Apa berlaku pada program SUBUR (Baucer Subsidi Beras Untuk Rakyat)
atau sumbangan beras pada rakyat? Di mana beras itu sekarang?
“Apakah penjelasan status 30 ekar tanah miliknya yang dibeli dengan
harga RM100,000 di kawasan Tanjong Karang seperti dibangkitkan dalam
sidang Dewan Negeri yang lalu?
“Begitu juga isu penyelewengan ratusan juta duit rakyat oleh NFC
ketika Tan Sri Noh menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,”
katanya dalam kenyataan.
Katanya, malang buat Umno Selangor yang sehingga hari ini gagal
membuktikan setiap dakwaan dan tohmahan terhadap Dato’ Menteri Besar dan
Kerajaan Negeri, sebaliknya mendakwa Noh hanya ‘mengikut skrip’
disediakan pihak lain bagi terus memburukkan imej Kerajaan Negeri.
Katanya,
Kerajaan Negeri tetap berlapang dada dan membuka pintu untuk siasatan
oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).
“Terbukti tidak pernah seorang pun ahli politik daripada Pakatan
Negeri Selangor didakwa atas salah laku rasuah atau penyelewengan atas
tuduhan yang dilemparkan itu. Apa yang ada hanyalah dakwaan tidak
berasas, palsu dan belum pun dibawa ke muka pengadilan.
“Hakikatnya, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya seperti KSSB
dan PKNS menjunjung teguh integriti seawal tahun 2013 lagi dengan
memeterai ‘integrity pact’ dan ia dibuktikan dengan tindakan, bukannya
sekadar mengangkat tangan membaca ikrar.
“Hasilnya, khazanah negeri bertambah dan pada masa sama, khazanah ini
diagihkan kepada rakyat Negeri Selangor menerusi lebih 40 program
Inisiatif Peduli Rakyat atau IPR,” katanya.
Shuhaimi berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan teragak-agak
mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang jelas
menfitnah secara jijik terhadap Kerajaan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan