SINGAPURA: Halangan bahasa mungkin menyebabkan berlakunya salah faham
dengan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), demikian jelas rakan
kepada lelaki warga Singapura yang maut akibat langgar lari pada 25 Ogos
lepas.
“Apabila kemalangan itu berlaku, banyak perkara berlaku serentak, jadi
menunggu bantuan tiba terasa amat lama. Saya ingatkan ia mengambil masa
30 minit, tetapi catatan log mereka berbeza pula,” kata Joshua De
Rozario, 25, merujuk kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.
The Straits Times memetik De Rozario sebagai berkata, mungkin berlaku
salah faham semasa di HSA kerana kakitangannya “bertutur dalam bahasa
Melayu dan kami bercakap dalam bahasa Inggeris, dan kami mengalami
kesukaran berkomunikasi”.
“Ramai daripada kami yang pergi ke JB (Johor Bahru) untuk makan malam
atau membeli-belah, dan kita sebenarnya tidak tahu apa yang perlu
dilakukan apabila sesuatu berlaku di sana,” katanya dipetik laporan itu.
“Itulah yang kami mahu sampaikan. Ia bukan tentang membalas dendam
kerana itu tidak akan mengembalikan Justinian. Kami mahu meneruskan
kehidupan kami.”
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan tiada kelewatan atau desakan pembayaran sebelum HSA merawat Tan.
Kenyataan itu susulan laporan sebuah portal berita Singapura mendakwa
mangsa parah akibat kemalangan itu kerana masa respons ambulans HSA
terlalu lama sehingga 30 minit.
Mangsa, Justinian Tan meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta
Proton Saga, ketika beliau dan lima rakannya yang baru selesai makan
lewat malam, kira-kira 3 pagi di Johor Bahru, menuju ke kenderaan
mereka.
Tan kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Singapura dan meninggal
dunia 5 hari kemudian, selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan