Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PKR akan berpegang teguh dengan keputusan yang telah
dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH)
bahawa tidak akan ada kerjasama bersama PAS pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14).
Justeru, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menegaskan, kenyataan yang
dikeluarkan ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh
disalah erti sebagai isyarat rundingan bersama parti pimpinan Datuk Seri
Abdul Hadi Awang itu boleh diteruskan.
Jelas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, Anwar hanya merujuk kepada
hubungan atas dasar persabahatan bersama PAS, dan bukannya kerjasama
politik.
"Apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Anwar ialah kita jangan putus
hubungan dengan mereka sebagai kawan-kawan. Secara rasminya mungkin
mereka (PAS) sudah terkeluar tetapi dalam hubungan tidak rasmi kami
masih berkawan.
"Bukan maknanya keputusan di atas (Majlis Presiden PH) yang kata sudah
putus, kita terputus kawan, tidak. Maksudnya kita teruskan ukhwah
sebagai kawan, pimpinan dan keputusan (kenyataan Anwar) itu jelas supaya
jangan memutuskan hubungan sebagai kawan-kawan, soal mereka bersama
kita itu, ia sudah jelas mereka bukan lagi dalam kerangka pakatan,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Mengulas lanjut, Johari juga berkata tidak timbul kekeliruan di dalam kenyataan yang dikeluarkan bekas ketua pembangkang itu.
"Maksud Datuk Seri Anwar, hubungan kita dengan pimpinan, jentera di bawah, dengan ahli-ahli biasa PAS kita teruskan.
"Saya baru lepas makan kenduri dari rumah mereka, raya korban, mereka
jemput dan minta saya berucap, tanya apa kita ingin buat di Kedah jadi
ini tiada masalah," ujarnya lagi.
Semalam, Anwar tampil mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan
Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berunding dengan PAS bagi membentuk
kerjasama pakatan bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam
PRU14.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Komunikasi parti itu,
Anwar bagaimanapun menambah, PKR konsisten untuk mengukuhkan PH dan
seandainya wujud rundingan bersama PAS, ia tetap akan berlaku dalam
'kerangka komitmen PKR dengan PH'.
Susulan itu, Azmin dalam reaksinya hari ini berkata usaha beliau yang
menggerakkan inisiatif dalam mewujudkan rundingan bersama PAS akhirnya
dibuktikan betul selepas diperakui sendiri oleh Anwar.
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dilihat sebagai tokoh utama yang
mahu meneruskan rundingan PKR dengan PAS, selepas tahaluf siyasi antara
kedua-dua parti terputus secara rasmi pada Mei lalu.
Kemelut berkaitan hubungan kerjasama di antara PKR-PAS sampai ke
kemuncaknya apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan parti
itu kini terbahagi kepada dua kumpulan.
Dakwa Rafizi, kumpulan pertama berpendirian keutamaan parti adalah
mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan
bekerjasama dengan PAS, manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR
komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam PH menghadapi PRU14.
Malah, Rafizi turut mencadangkan kongres khas diadakan bagi
memuktamadkan isu rundingan itu secara lebih menyeluruh, dengan
melibatkan suara akar umbi.
Mengulas perkara itu, Johari berkata tiada keperluan untuk dianjurkan
kongres memandangkan PH sudah mengambil ketatapan untuk tidak lagi mahu
mengadakan kerjasama bersama PAS.
Keputusan muktamad itu dilakukan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH
pada 29 Ogos lepas di atas persetujuan kesemua empat parti di dalam
parti pembangkang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan