HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 September 2017

Jawatankuasa gesa tubuh RCI Memali giat buat persiapan

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jawatankuasa yang ditubuhkan PAS untuk mengemukakan permohonan agar diadakan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) mengenai tragedi berdarah Memali, kini giat membuat persiapan.
 
Jawatankuasa yang diketuai Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad turun ke Kampung Memali, Baling Kedah untuk menemui mangsa, ahli keluarga serta penduduk kampung yang terkesan dengan peristiwa yang sudah berusia 32 tahun itu.
 
"PAS sedang bersedia dan membuat tindakan sekarang ini. Sebab itu PAS telah bermesyuarat dan telah melantik Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden menjadi Pengarah untuk mengetuai program ini bersama dengan beberapa peguam untuk mendesak supaya satu RCI ditubuhkan.
 
"Ia sedang berjalan sekarang ini termasuk kita panggil semua mangsa-mangsa Memali yang masih hidup lagi," kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi kepada Antarapos dalam temubual eksklusif baru-baru ini.
 
Sejarah Memali yang berusia lebih tiga dekad lalu itu timbul semula selepas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanyakan soalan perihal Memali kepada pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sewktu forum Nothing To Hide 2.0, baru-baru ini.
 
Dr Mahathir cuba menjawab namun jawapannya tidak memuaskan hingga mencetus kekecohan yang menyaksikan kerusi, selipar, botol air dibaling ke arah pentas, malah suar juga turut dinyalakan peserta forum yang hadir.
 
PAS kemudiannya tampil dan menggesa agar diadakan RCI bagi menyiasat secara adil selain membersihkan nama mangsa kejadian Memali yang tidak bersalah. 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya perihal gesaan PAS berkata pihaknya masih menunggu reaksi daripada masyarakat dan individu yang terlibat dalam peristiwa Memali 1985.
 
Beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan RCI itu untuk mengkaji tragedi yang berlaku ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
 
Kejadian Memali menyaksikan 14 penduduk kampung itu maut ditembak polis. Empat orang polis juga turut terbunuh dalam operasi menangkap seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya. 
 
 

Tiada ulasan: