KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meninjau
untuk membeli sebuah bangunan pusat beli belah terkemuka di Poland
bertujuan untuk memaksimumkan pulangan dengan mengembangkan pelaburan
hartanahnya di rantau Eropah Timur, lapor Berita Harian.
Memetik sumber, laman web berita itu melaporkan KWSP melalui firma
pelaburan miliknya di Eropah, KWASA Europe, sudah menghantar permohonan
kepada pihak berkuasa Poland untuk kebenaran membeli pusat membeli-belah
Galeria Katowicka daripada Meyer Bergman.
"Tiada sebarang nilai yang didedahkan buat masa ini. Namun berdasarkan
penilaian pasaran semasa, harganya adalah sekitar 300 juta euro (RM1.53
bilion)," kata sumber itu, seperti dipetik oleh Berita Harian.
Akhbar itu melaporkan Galeria Katowicka dibuka kepada umum pada
September 2013 dan memiliki kawasan yang boleh disewakan seluas 53,000
meter persegi dengan 250 penyewa.
Ia dibangunkan dengan kos 240 juta euro (RM1.224 bilion) oleh sebuah
konsortium empat syarikat termasuk Meyer Bergman, yang kemudian membeli
semua baki ekuiti dalam Galeria Katowicka daripada tiga syarikat lain.
Laporan itu juga menyebut cadangan pembelian bangunan ini bukan
pelaburan pertama KWSP dalam pasaran hartanah di Poland kerana sebelum
ini ia pernah membeli bangunan di Warsaw pada harga 186 juta euro
(RM948.89 juta).
Awal Ogos lalu, KWSP dilaporkan menuai hasil pelaburan hartanah di
London apabila menjual bangunan pejabat miliknya di Tower Bridge House
kepada syarikat Mirae Asset Global Investment Group yang berpejabat di
Seoul, Korea Selatan pada harga £205 juta (RM1.15 bilion).
Berita Harian melaporkan penjualan itu mendatangkan keuntungan RM360
kepada KWSP hasil kenaikan harga hartanah dan tukaran asing.
KWSP awal tahun ini mengumumkan hasrat menjual hartanah yang dibeli di London bagi “menuai hasil pelaburan”.
"Kami akan menjual aset pelaburan apabila nilai hartanah tinggi dan
berasaskan kitaran pasaran," kata KWSP, sementara keuntungan pelaburan
itu dibawa balik manakala modalnya dilabur semula dalam pelaburan lain.
KWSP, yang juga mempunyai pelaburan hartanah di Australia, baru-baru
ini membeli 49% kepentingan dalam sebuah syarikat hartanah di negara itu
yang memegang hak membangunkan sebuah projek di selatan Melbourne.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan