shahbudindotcom
PENJELASAN
UNDANG-UNDANG BERHUBUNG KEDUDUKAN KES FITNAH HADI AWANG (PAS) vs CLARE
REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) DI LONDON, UNITED KINGDOM !!!
1.
Sebenarnya, sebelum ini, saya telah diminta untuk memberi pandangan
saya berhubung kesan dan efek Perintah 02.08.2017 yang dibuat oleh
MAHKAMAH TINGGI di United Kingdom itu, selepas pendengaran permohonan
bertarikh 16.06.2017, seperti yang dilaporkan oleh MALAYSIAN INSIGHT
bertarikh 06.08.2017 bertajuk "Pengarang Sarawak Report diperintah bayar
RM84,000 kepada Hadi", yang mana saya telah berikan pandangan saya
melalui Siri : 1005 bertarikh 07.08.2017, sebelum ini.
2.
Namun, pada hari Khamis, 31.08.2017, telah tertular pula satu lagi
Laporan terbaru, yang diterbitkan oleh THE THIRD FORCE, seperti yang
juga diterbitkan semula oleh MALAYSIATODAY pada 31.08.2017 dan bertajuk
"SARAWAK REPORT GAGAL MENGEMUKAN PEMBELAAN", di mana antara lain
dilaporkan :
"Pada jam 4.00 petang, masa United
Kingdom (UK), Ketua Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, gagal
mengemukan bukti kepada Mahkamah di London bahawa Perdana Menteri
Malaysia Datuk Seri Najib Razak menyogok Presiden PAS Dato’ Seri Abdul
Hadi Awang sebanyak RM90 juta. Kegagalan beliau untuk berbuat demikian
melanggar perintah Mahkamah bertarikh 2 Ogos 2017 (lihat di bawah) yang
memerlukan beliau untuk memfailkan serta mengemukan pembelaan beliau
mengikut tarikh yang ditetapkan."
3. Ramai yang
telah bertanyakan saya berhubung kandungan Laporan itu, yang
menyebabkan saya memberi pandangan saya melalui tulisan saya di sini,
setakat dan terhad cuma melalui maklumat yang tertera pada apa yang
tampak seolah-olah satu PERINTAH MAHKAMAH TINGGI di United Kingdom
bertarikh 02.08.2017, yang turut sama ditampilkan dalam Laporan itu.
4.
Dari segi undang-undang, menurut kandungan PERINTAH MAHKAMAH bertarikh
02.08.2017, jika Perintah itu adalah Perintah yang sah dan tidak
disalahubah oleh mana-mana pihak ketiga :
(a)
Pihak HADI AWANG (PAS) adalah dimestikan untuk membayar deposit kos
sebanyak Pound Sterling 14,350 kepada Pejabat Dana Mahkamah (Courts
Funds Office) pada atau sebelum jam 4 petang (waktu United Kingdom) pada
23.08.2017, dan
(b) Pihak CLARE
REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) pula adalah dimestikan, pada atau
sebelum jam 4 petang (waktu United Kingdom) pada 23.08.2017, untuk :
(i)
membayar kos berkaitan pendengaran permohonan bertarikh 16.06.2017
terdahulu sebanyak Pound Sterling 15,000 kepada pihak HADI AWANG (PAS),
dan
(ii) memfailkan ke Mahkamah dan meyerahkan kepada pihak HADI AWANG (PAS) akan PENYATA PEMBELAAN dalam tindakan itu.
5.
Saya tidak berhasrat untuk memberi komen berhubung isu kos yang
sepatutnya diselesaikan oleh kedua-dua pihak, yakni pihak HADI AWANG
(PAS) dan juga pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT), kerana
tiada maklumat daripada Laporan itu samada deposit kos, dan kos,
masing-masing, melalui PERINTAH bertarikh 02.08.2017, seperti yang
dirumuskan di Perenggan 4(a) dan (b)(i) di atas, telah dibayar ataupun
tidak.
6. Malahan saya percaya isu untuk
perbincangan sebenar di sini adalah berkaitan pemfailan dan penyerahan
PENYATA PEMBELAAN melalui PERINTAH bertarikh 02.08.2017, seperti yang
dirumuskan di Perenggan 4(b)(ii) di atas, berhubung petikan-petikan di
dalam kandungan Laporan THE THIRD FORCE , seperti yang juga diterbitkan
semula oleh MALAYSIATODAY 31.08.2017 bertajuk "SARAWAK REPORT GAGAL
MENGEMUKAN PEMBELAAN", yang mana adalah dipetik semula seperti berikut :
"Walaupun
mempunyai masa yang mencukupi sejak setahun lalu untuk mengumpul
bukti-bukti terhadap tuduhan beliau, Clare gagal untuk mengemukannya
walau sedikit, bermakna segala dokumen yang di dakwa di miliki olehnya
yang mengandungi pelbagai salah laku Najib adalah palsu semata-mata.
Hakim mungkin tahu bahawa, maksud saya, jika memang dokumen tersebut
tulen, mengapa beliau begitu keberatan untuk mengemukannya? Tidakkah
dengan mengemukakan ‘bukti-bukti’ akan meyakinkan Hakim bahawa Najib
adalah seorang yang tidak mulia yang mampu merasuah seseorang seperti
Hadi ?", dan
"Kegagalan beliau untuk berbuat
demikian sebenarnya menunjukkan bahawa dia mempunyai niat jahat untuk
menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi bagi sebuah negara
yang berdaulat. Dan sekarang, apabila arus berlawanan dengan
kehendaknya, dia cuba untuk mengheret perbicaraan melepasi pilihanraya
umum ke-14 dengan memohon lanjutan daripada Hakim. Tetapi Hakim dengan
lebih atau kurang memberitahu beliau segalanya sudah berlalu."
7.
Untuk fahaman mudah kesemua pembaca yang prihatin, kandungan
petikan-petikan Laporan Laporan THE THIRD FORCE 31.08.2017 itu, seperti
yang dipetik di Perenggan 6 di atas, adalah SALAH dan TIDAK BENAR dari
segi undang-undang kerana :
(a) PENYATA
PEMBELAAN adalah cuma satu dokumen yang memberikan butiran fakta dan
pengataan berhubung isu-isu yang akan dirujuk dan digunapakai oleh pihak
Responden iaitu, pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) semasa
PERBICARAAN tindakan SAMAN FITNAH oleh pihak HADI AWANG (PAS) kelak !!,
(b)
PENYATA PEMBELAAN adalah dokumen undang-undang yang TIDAK MENGANDUNGI
mana-mana BUKTI, kerana BUKTI tidak boleh ditampilkan melalui PENYATA
PEMBELAAN !!,
(c) BUKTI seperti yang dirujuk di
dalam petikan-petikan Laporan THE THIRD FORCE 31.08.2017 itu, cuma
akan ditampilkan selepas arahan-arahan lanjut semasa PENGURUSAN KES oleh
Mahkamah terbabit, dan itupun melalui satu lagi dokumen Mahkamah yang
berlainan yang dipanggil "BUNDLE OF DOCUMENTS", yang semestinya akan
diarahkan kelak !!
(d) Justeru, ianya adalah
SALAH dan TIDAK BENAR untuk sesiapa membuat RUMUSAN dan KESIMPULAN
bahawa kononnya pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) telah
kononnya "gagal menampilkan bukti kenyataan beliau" yang menjadi asas
tindakan saman pihak HADI AWANG (PAS), kerana UNDANG-UNDANG belum pun
perlukan pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) untuk tampilkan
sebarang BUKTI di tahap ini !!, dan
(e) Walhal,
samada pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) telah failkan dan
serahkan PENYATA PEMBELAAN ataupun memperolehi lanjutan masa bagi tujuan
pemfailan dan penyerahan PENYATA PEMBELAAN juga tidak langsung
dinyatakan di dalam Laporan Laporan THE THIRD FORCE 31.08.2017 itu
sama sekali !!
8. Jawaban sebenar akan siapakah
yang BETUL ataupun SALAH berhubung Laporan SARAWAK REPORT berkaitan
perolehan dana 90 juta oleh PAS daripada Kerajaan NAJIB RAZAK itu akan
cuma diketahui di hujung perbicaraan kes ini di MAHKAMAH TINGGI di
United Kingdom itu, kelak !!
DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!
(Tulisan di atas adalah pandangan peguam Haniff Khatri Abdullah yang dipetik daripada laman Facebook miliknya)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan