Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan
rundingan partinya dengan PAS jelas bersifat 'menongkah arus' selain
menimbulkan kekeliruan, kata penganalisis politik, Azmi Hassan.
Azmi merujuk kepada kenyataan terbaru Anwar bahawa beliau merestui jika
wujud rundingan antara partinya dengan PAS yang dalam masa sama memberi
jaminan ia tetap akan berlaku dalam 'kerangka komitmen PKR dengan
Pakatan Harapan'.
Ujarnya lagi, kenyataan Anwar itu juga bertentangan dengan pendirian
DAP dan PAS yang saling menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama
antara satu sama lain.
"Kalau nak diungkitkan arahan ataupun kenyataan daripada Datuk Seri
Anwar itu bukan sahaja ianya tidak jelas tetapi ia menjerumus kepada ia
kontradik arahan itu sendiri.
"Kalau dikatakan arahan dikeluarkan untuk mengadakan rundingan tetapi
perlu kerangka format Pakatan Harapan (PH) memang tidak boleh. Perkara
itu tidak boleh kerana PH, DAP maksud saya tidak boleh berunding dengan
PAS. Begitu juga PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
"Jadi sebab itu saya katakan arahan itu 'contradict' mahu mengadakan
rundingan tetapi mengikut acuan PH. Memang perkara kedua itu
bertentangan antara satu sama lain. Jadi sebab itu timbulnya dalam PKR
itu sendiri perbalahan antara satu sama lain. Bukan sahaja dikaitkan
dengan arahan Datuk Seri Anwar tetapi dengan mengadakan rundingan itu
dikatakan semangat PH itu dikatakan menongkah arus," katanya kepada
Antarapos hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi turut berpandangan kenyataan Anwar itu sekaligus
menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli PH mahupun PKR sendiri berkaitan
hala tuju berhubung isu kerjasama berkenaan.
"Jadi ini menimbulkan sebagai kekeliruan ataupun kekusutan pemikiran ahli PH itu sendiri.
"Saya melihat Datuk Seri Anwar termasuk juga Azmin telah mencongak
walaupun ada kekeliruan, kekusutan dalam PKR sendiri tetapi kekusutan
itu manfaatnya bekerjasama dengan PAS melebihi daripada apa yang berlaku
di bawah itu.
"Jadi sebab itu saya membacanya kalau dikatakan siapa yang lebih
terdesak sama ada PAS ataupun PKR. Nampak gaya PKR lebih terdesak kerana
mereka sanggup ahli akar umbi mereka berkecamuk, ada yang keluar parti
asalkan mereka mendapat kerjasama daripada PAS," tambahnya.
Awal hari ini, Anwar di tengah kemelut melanda partinya berhubung isu
rundingan bersama PAS, tampil mengesahkan beliau tidak membantah jika
wujud rundingan antara partinya dengan parti Islam itu.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Komunikasi parti itu,
bekas ketua pembangkang itu berkata PKR konsisten untuk mengukuhkan PH
dan seandainya wujud rundingan bersama parti pimpinan Datuk Seri Abdul
Hadi Awang itu, ia tetap akan berlaku dalam 'kerangka komitmen PKR
dengan PH'.
PH ketika mesyuarat Majlis Presidennya pada 29 Ogos lalu telah
mengambil ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam menghadapi
PRU14 nanti.
Keputusan itu dibuat disaat isu rundingan antara PKR-PAS yang
diusahakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sedang hangat
diperdebatkan.
Isu rundingan tersebut turut mencetuskan kemelut dalaman dalam PKR sama
ada di peringkat tertinggi termasuk cabang akar umbi parti reformasi
itu.
Perkara itu didedahkan Naib Presidennya sendiri, Rafizi Ramli baru-baru ini.
Rafizi dalam pendedahannya berkata, PKR kini terbahagi kepada dua
kumpulan iaitu yang pertama berpendirian keutamaan parti adalah
mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan
bekerjasama dengan PAS.
Manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam PH menghadapi PRU14.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kongres khas diadakan bagi
memuktamadkan isu rundingan itu secara lebih menyeluruh, dengan
melibatkan suara akar umbi.
Bagaimanapun Anwar dalam kenyataannya hari ini berkata beliau tidak
keberatan dengan cadangan berkenaan, namun mempersoalkan keperluan
penganjurannya memandangkan tiada perubahan dasar yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan