HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 April 2018

Tumpu PRU14, bukan pemilihan parti: Najib

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin dan ahli Umno supaya menumpukan sepenuhnya kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ketepikan sementara soal pemilihan dalam parti.
 
Presiden Umno itu menegaskan bahawa PRU-14 penting dan perlu diberi tumpuan sepenuhnya terutama pemimpin di peringkat akar umbi kerana ia menentukan soal berkaitan kuasa pemerintahan.
 
"Untuk apa kita fikirkan soal jawatan dalam parti (Umno) kalau tidak berkuasa.
 
"Apa yang kita perjuangkan dan apa yang kita rancang hanya dapat diteruskan apabila parti kita (Barisan Nasional) kekal berkuasa," katanya.
 
Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.
 
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Pekan, Datuk Abu Bakar Harun; Ketua Wanita BN, Datuk Zalmah Abdul Rahman; Ketua Pemuda BN, Datuk Shaharuddin Ahmad dan Ketua Puteri BN, Marlia Irdawatie Khairuddin.
 
Lebih 7,000 pemimpin dan ahli BN Parlimen Pekan hadir pada majlis berkenaan.
 
Mengulas lanjut, Najib yang juga Pengerusi BN, berkata tidak guna memegang jawatan dalam parti sekiranya hilang kuasa politik menyebabkan perjuangan tidak dapat diteruskan.
 
"Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi parti tetap ada, jaga BN dan Umno kerana ia adalah warisan yang diturunkan kepada kita, kita hendak serahkan kepada anak-anak dengan keadaan baik.
 
"Sebab itu, saya buat Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana saya hendak serahkan negara dalam keadaan yang dihormati dan maruahnya tinggi.
 
"Jangan burukkan negara kita kerana inilah negeri, bumi tempat kita lahir dan disemadikan.
 
"Kalau ada orang memburukkan negara kita mesti tentang habis-habisan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: