HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Umno harus tetap jadi Umno

 


ULASAN l Hari Jumaat, 11 Mei 2018, hari ulangtahun penubuhan Umno. Aku gagahkan juga diri melangkah masuk ke surau di aras 4 bangunan PUTRADE. Aku masih menjaga wuduk, kelihatan beberapa tokoh Umno yang aku kenal sudah pun sampai.

Idris Haron, Reezal Merican, Annuar Musa, Asyraf Wajdi, Ku Nan (Tengku Adnan Mansor) dan ramai lagi mengambil tempat masing-masing. Ada yang bersembang bertanya khabar, ada yang menundukkan kepala tanda bermuhasabah. Masing-masing menunggu kehadiran Najib Razak dan pimpinan yang lain. Asyraf sempat memberi tausiyah sementara menanti maghrib tiba.

Tepat jam 7.10 malam, Najib, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammudin Hussein melangkah masuk dengan tertib dan menunaikan solat sunat. Aku lihat satu persatu wajah pemimpin parti keramat ini.

Dadaku sebak dan ketat, mahu saja aku meluru bersalaman dengan mereka. Namun aku gagahkan perasaan ini, tunggulah selesaii tahlil dan bacan yasin nanti.




Apabila majlis selesai, masing-masing bangun dan berselawat dan bertahmid. Ketika itu airmata sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Menderu mengalir deras membasahi pipi.

Giliranku untuk bersalaman, tangan-tangan mereka aku genggam erat, kami berpelukan antara satu sama lain. Terasa betul ukhuwwah yang jitu dan erat.

Kini giliranku bertemu dengan guruku, Dato’ Aidit. Kami bersalaman dan berpelukan, semakin deras airmataku mengalir. Dia mencium dahiku, aku tahu, dia mahu aku kuatkan semangat dan bersabar.

Kemudian kami sama-sama beredar keluar. Terpaku seketika, aku lihat ramai berduyun-duyun di luar surau aras empat, menanti untuk melihat dan bersalaman dengan panglima-panglima kesayangan mereka.

Alunan selawat semakin kuat kedengaran, aku lihat airmata di wajah mereka, aku dengar ada tangisan teresak-esak di sana-sini. Suasana yang aku tidak ingin lihat, kini benar-benar berlaku di depan mata.

Mataku meliar mencari sosok tubuh Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. Dari tadi tidak kelihatan, mungkin aku yang tak nampak agaknya.

Aku tekad menunggu untuk berbicara sebentar dengan Zahid. Ada persoalan yang ingin aku tanyakan. Pertemuan berlangsung dengan penuh suasan persaudaraan.





Aku tanya Zahid bagaimana dia begitu kuat dan tabah melalui detik-detik seperti ini. Dia kata, Alhamdulillah, sehingga hari ini belum ada setitis air matanya yang tumpah. Tetapi setakat bergenang itu adalah. Kami tersenyum tawar. Aku tahu, dia juga sedang mengawal perasaan dan emosinya.

Itulah Zahid, dia tak mahu anak buahnya terlalu beremosi. Banyak lagi kerja terbentang di hadapan. Dia istaqamah dalam perjuangan menegakkan tiang seri Umno yang juga menjadi sendi dan asas Perlembagaan Malaysia.

Zahid bukanlah seorang ‘ultras-melayu’. Zahid adalah seorang nasionalis tulen yang mewarisi semangat dan wasiat Raja-Raja Melayu yang dizahirkan pada tanggal 30 Ogos 1957. Sejak aku mengenalinya, dia sering meletakkan Islam dan agenda perpaduan di hadapannya.

Dia bukan jenis yang suka berdendam atau berkelahi, sifat pemaaf dalam dirinya membuatkan beliau disenangi kawan dan lawan. Kau orang mesti ada yang gelak, tapi kau tanyalah waima Lim Guan Eng mahu pun Lim Kit Siang.

Pernahkan Zahid menjentik mereka dengan sebarang kecaman? Apalagi teman-teman seperjuangannya. Ketika Najib bertelingkah dengan Muhyiddin Yassin dan Shafie Afdal, Zahid masih lagi kelihatan akrab dengan mereka ini. Begitulah jiwa besar Zahid.

Kini, ahli parti di ambang memilih siapa presiden Umno yang baru. Tiga nama besar telah menawarkan diri untuk bertanding. Di samping Zahid, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Khairy juga menawarkan diri. Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai pengikut dan pengaruh yang tersendiri.




Ku Li yang berhibernasi lebih dua dekad selepas 1987, didesak oleh sebahagian ahli parti untuk bertanding. Tiba-tiba namanya menjadi besar dan semakin kedengaranlah suara-suara yang mendewakannya sebagai ‘the saviour’.

Ku Li mempunyai pengaruh dan keupayaan yang tersendiri. Dia telah membuktikan jati dirinya ketika menentang Tun Dr Mahathir Mohamad. Malahan, jumlah menteri kabinet Umno yang berpihak kepadanya ketika itu terbahagi hampir sama rata banyaknya.

Bukan saja Umno berpecah dua, malahan sehingga Umno diharamkan lantaran tindakan 10 ahlinya yang membawa kes ke mahkamah untuk dibicarakan. Begitulah hebatnya pengaruh Ku Li. Tetapi sikap tidak peduli selama dua dekad kepada Umno membuatkan kita tertanya-tanya apakah Ku Li masih relevan dengan agenda perjuangan parti .

Khairy merupakan calon yang kononnya mewakili anak muda. Namun umum mengenali siapa Khairy dan peranannya di zaman Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) menjadi perdana menteri.

Dirinya tidak sunyi terpalit dengan pelbagai kontroversi konflik kepentingan. Khairy wajib bersyukur kerana Zahid berperanan membimbingnya dan disiapkan untuk menjadi pemimpin pelapis di dalam Umno.




Tetapi, sifat orang muda sukar meminggirkan sifat gelojoh. Kini Khairy mahu mencabar pula dua otai yang bukan calang-calang orang. Rekodnya sebagai Ketua Pemuda tidak secemerlang mana pun. Memang malu untuk mengakui, tetapi itulah hakikat yang pahit untuk ditelan.

Program perkaderan yang dimanahkan kepadanya hanya bergerak separuh jalan. Malah ada yang meragui semangat nasionalis Melayu yang ada padanya. Namun begitu, bakat dan kepimpinan yang ada Khairy masih boleh digarap dan diperbaiki. Masih ada ruang dan waktu untuknya.

Dia sepatutnya bertanding kerusi naib presiden bagi mengikuti proses hiararki dan tarbiyyah sebelum merasakan dirinya layak bertanding untuk kerusi presiden. Adalah janggal untuk beliau melangkau dua anak tangga iaitu naib dan timbalan presiden. Entah apalah yang difikirkannya, hingga melangkau Ketua Bahagiannya yang bertanding kerusi timbalan.

Zahid terlalu dekat dengan Umno. Puluhan tahun masa diambil sebelum duduk dibangku orang nombor dua parti dan kerajaan. Beliau lebih berkemahiran mencatur gerak kerja politik Umno. Dan yang paling utama, kesetiaannya kepada parti telah terbukti.




Aku punya keyakinan, Zahid akan tetap terus bekerja bersama Ku Li dan Khairy memastikan Umno bangkit walau apa pun keputusan perwakilan 30 Jun nanti.

Zahid punya keseimbangan intelektual, emosi dan spiritual. Setidak-tidaknya, Zahid bukanlah tergolong dalam golongan liberalis dan pluralis. Umno harus tetap menjadi Umno. Umno masih meraih sokongan kuat orang melayu.

Zahid ialah seorang nasionalis tulen!


DATUK ALEXANDER NOOR adalah ahli Umno yang mengikuti politik tanah air sejak 1970an.

Tiada ulasan: