HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2018

Saya terima banyak ‘hadiah’, kata Najib

THE MALASIAN INSIGHT
Najib Razak bertegas mengatakan rampasan polis yang cecah RM1.1 bilion adalah hadiah kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
NAJIB Razak terus bertegas yang rampasan mencecah RM1 bilion dalam bentuk barangan kemas, beg tangan dan barangan mewah lain kebanyakkannya adalah “hadiah”, dan turut mendakwa nilainya tidaklah setinggi dakwaan pihak berkuasa.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu merasakan tidak wujud soal pelanggaran etika bagi seseorang berjawatan tinggi sepertinya untuk menerima hadiah berharga.

“Jika hadiah itu diberikan kepada anda oleh ketua negeri lain, seperti pada majlis hari lahir dan tidak mengharapkan balasan, ia tak haram. Dr Mahathir sendiri kata dalam rekod yang dia menerima 40 kuda daripada kawannya. Saya pasti ada juga hadiah lain yang dia terima sepanjang kerjayanya,” kata Najib.

Beliau juga memberikan misalan isteri bekas presiden AS Barack Obama, Michelle Obama yang menerima jutaan daripada Raja Arab Saudi terdahulu, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

“Dan bila Raja Salman melawat Indonesia baru-baru ini, dia juga beri hadiah bernilai jutaan ringgit.

Bagi sebilangan keluarga diraja di negara tertentu, sudah jadi budaya mereka beri hadiah mahal.

“Misalnya, barangan yang diberikan kepada saya oleh keluarga diraja ini, saya tak guna pun. Saya simpan kerana saya tak mahu guna barang mahal, itu kawan saya semua tahu. Saya tak pakai jam yang ada permata berharga,” katanya.

Najib mengakui yang beliau sangat rapat dengan Raja Abdullah yang menganugerahkannya gelaran tertinggi Arab Saudi yang hanya diberikan kepada sekutu terdekat seperti Obama dan Presiden Rusia Vladimir Putin, lapor Malaysiakini.

Beliau juga menegaskan yang nilai barangan itu tidak setinggi seperti dilaporkan polis.

“Kita perlu tahu tarikh hadiah itu, seperti barangan kemas,” katanya pada wawancara di Pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya siang tadi.

“Seperti yang anda tahu, harga permata diperolehi atau dihadiahkan 20 tahun lalu kurang berbanding apa yang dibayar sekarang kerana harga permata sudah jatuh mendadak jadi ia bergantung kepada apa jenis penilaian dan bila penilaian dibuat,” katanya.

“Penilaian boleh berbeza. Jadi jangan kita teruja sangat tentangnya. Biar kami tengok barang, setiap barangan dan kami harap ada peluang untuk periksa semua barangan ini. Dan (kemudian) kita boleh buat kesimpulan sumber barangan itu dan boleh dapatkan penjelasan mengenai barangan yang dirampas polis,” tambahnya.

Najib juga berkata yang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menerima hadiah ketika jadi perdana menteri buat pertama kali dahulu.

“Tetapi apa yang saya tahu sejak bertahun selaku ketua kerajaan, kami diberikan banyak barang oleh pemimpin luar serta kawan rapat dan saya tahu di bawah undang-undang salah untuk terima hadiah. Tetapi hadiah ini terkumpul sejak berdekad lamanya.”

“Misalnya, (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) mengaku terima 40 kuda daripada kawan-kawan dan pemimpin luar, dan dia secara terbuka guna banyak pesawat korporat milik kawannya jadi tak salah untuk terima hadiah,” katanya.

Barangan kemas bernilai RM440 juta dan wang tunai RM116.7 juta dirampas daripada kediaman dikaitkan dengan Najib, kata polis hari ini.

Antara barangan dirampas termasuklah beg dan jam tangan, jumlah nilai barang rampasan dianggarkan berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh.

Walaupun begitu, anggaran nilai barangan kemas sebanyak RM440 juta itu hanya mengambil kira faktor jenis bahan, belum lagi termasuk kos pertukangan, rekaan dan kos jualan lain yang boleh meningkatkan nilai kepada 50% sehingga 100% lagi.

567 beg tangan yang dirampas melibatkan 37 jenama mewah termasuklah Hermes, Prada, Versace, Chanel serta jenama paling eksklusif dunia, Bijan.

Pendedahan polis itu menggemparkan rakyat Malaysia yang terkejut dan tidak dapat mempercayai bagaimana seorang bekas pemimpin tertinggi negara sejak 2009 sebelum kalah PRU14 9 Mei lepas mampu mengumpul harta sebanyak itu.

Tiada ulasan: