HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Saya tidak lari, kata Musa Aman

Wartawan MalaysiaGazette
Polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu.
Musa Aman


KUALA LUMPUR – Tan Sri Musa Aman menafikan beliau telah meninggalkan Malaysia secara tidak sah.

Sebaliknya, bekas Ketua Menteri Sabah berkata, beliau telah keluar dari Malaysia mengikut undang-undang pada 16 Mei lalu dan kini berada di United Kingdom bagi menjalani rawatan dan sebab-sebab peribadi.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Musa berkata, beberapa kenyataan dan laporan sejak kebelakangan ini kononnya beliau meninggalkan Malaysia dan memasuki United Kingdom secara tidak sah seolah-olah menunjukkan beliau kini menjadi buruan.

Situasi itu juga memperlihatkan dirinya sengaja tidak bersedia untuk berdepan dengan pihak berkuasa dalam membantu siasatan berhubung kejadian istana negeri pada malam 10 Mei lalu dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

“Saya percaya sesetengah laporan ini bertujuan untuk memalu atau merosakkan nama baik saya atas sebab-sebab politik,” katanya.

Hakikatnya, Musa berkata, beliau sudah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan perintah terhadap kedua-dua Yang Dipertua Negeri Sabah dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai akibat daripada ultra vires (suatu tindakan yang melampaui batas atau di luar kuasa undang-undang) dan tindakan tidak mengikut Perlembagaan oleh Yang Dipertua Negeri berikutan susulan angkat sumpah sebagai ketua menteri.

Jelas Musa, Yang Dipertuan Negeri Sabah secara tidak wajar memintanya melepaskan jawatan dalam masa 48 jam, enggan menandatangani Instrumen Pelantikan dan berniat mahu Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, ketika beliau masih berkhidmat.

“Sudah tentu, saya akan bekerjasama dengan polis berhubung siasatan yang sedang dilakukan dan saya juga sudah menjelaskan perkara ini kepada Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Saya juga telah mengarahkan peguam dari Malaysia dan London, dan mana-mana persoalan atau permintaan berhubung sebarang maklumat boleh berkomunikasi dengan mereka nanti,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: