Rahimah Abdullah, Astro Awani |
Kertas kecil sebesar tapak tangan itu tertera nama-nama calon yang hanya menjadi pilihan yang dicetak kemas.
Bahan kempen itu dipercayai diedarkan individu yang biasa dipanggil 'cai' yang sama seperti peraih undi.
Ia ditemui semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa yang dirasmikan Penyandang Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa dan calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Bagaimanapun, nama Johari tidak disenaraikan dalam kertas 'panduan' pemilihan itu, sebaliknya nama pesaingnya, Ismail Musa.
Turut disenaraikan, nama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Presiden UMNO dan Tan Sri Annuar Musa sebagai calon Timbalannya.
Jelas Johari, beliau tidak memerlukan khidmat 'cai' untuk meraih sokongan dan menang dua jawatan itu.
"UMNO ni berjalan hampir 72 tahun. Pertandingan seperti ini semua perwakilan sudah faham. Sebenarnya bagi 'cai-cai' ini adalah panduan bahagian tersebut. Saya tidak mempratikkan benda macam ni. Saya nak rakyat tahu siapa yang layak," katanya kepada Astro AWANI selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa hari ini.
Katanya lagi, bahan kempen berkenaan sememangnya untuk mempengaruhi pengundi calon.
"Saya suka biar ahli pilih. Biar masyarakat tengok pilihan mengikut macam kita beli barang, mana boleh tutup mata. Apa barang kamu nak beli, apa produk nak beli, dan kemudian baru boleh memilih," kata Johari.
Bagaimanapun, beliau yakin anggota parti terlibat akan memilih calon pemimpin UMNO yang sebenar.
"Ini adalah sebahagian daripada kempen strategi calon. Apa pun dalam tu, perwakilan boleh menilai, tidak semestinya mereka ikut. Mereka tahu menilai pemimpin. Sebab itu kalau nak reform UMNO kena ada kejujuran dan kebijaksanaan untuk memilih bukan kerana disuruh atau dipaksa orang. Itu peru ditekankan sebagai perwakilan," ujarnya.
Selain Johari, enam lagi calon yang akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO 2018 ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Khalid Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Ahmad Said.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan