HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

Akaun Pas juga perlu disiasat, beku

Manzaidi Mohd Amin
Faiz Fadzil
Faiz Fadzil


KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) menggesa pihak berkuasa mengambil kira dakwaan Naib Presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar bahawa Pas dikatakan ada menerima wang dari UMNO.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, pihak berkuasa itu perlu menyiasat dakwaan berkenaan termasuk membekukan sementara akaun Pas sementara menjalankan siasatan.

“Kita gesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang menerima wang daripada UMNO termasuk akaun Pas sepertimana didedahkan Datuk Mahfuz Omar bahawa Pas ada menerima RM1.5 juta daripada UMNO.

“Pemberian wang ini boleh dianggap tergolong dalam aliran pengubahan wang haram kerana diterima daripada UMNO yang akaunnya dibekukan kerana disyaki melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di Johor semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Auruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.

Menurut Faiz, berdasarkan peruntukan AMLA, menjadi kesalahan bagi penerima aliran pengubahan wang haram, dan pihak berkuasa boleh membekukan mana-mana akaun yang disyaki terlibat.

“Dalam (SPRM) menjalankan siasatan ke atas akaun UMNO, akaun Pas juga boleh dibekukan mengikut peruntukan undang-undang itu kerana parti itu mesra UMNO.

“Malah, pengakuan Pengarah Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki bahawa wang tersebut adalah derma, juga membuka ruang kepada satu siasatan dijalankan terhadap Pas kerana derma ditafsirkan sebagai suapan menurut seksyen 3 Akta SPRM 2009,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: