HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Jun 2018

Elak institusi wakaf diperguna individu kayakan diri, kata TPM

THE MALAYSIAN INSIGHT
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kesucian institusi wakaf tidak harus dicemari dengan perlakuan memperkayakan diri oleh mana-mana individu yang diamanahkan menguruskannya. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kesucian institusi wakaf tidak harus dicemari dengan perlakuan memperkayakan diri oleh mana-mana individu yang diamanahkan menguruskannya.

Beliau berkata sebagai instrumen yang boleh membantu entiti perniagaan, institusi wakaf tidak boleh dijadikan platform bagi mana-mana pengerusi atau ahli lembaganya untuk mengumpul kekayaan diri sendiri.

“Wakaf boleh membantu entiti perniagaan…pun begitu, jangan sekali-kali mana-mana institusi ini dijadikan satu tapak kepada sesiapa sahaja yang diamanahkan untuk memperkayakan diri mereka sendiri.

“Oleh itu, pengerusi, ahli lembaga, pengurusan, kakitangan dan semua yang berkaitan mesti memastikan kesucian, keunggulan dan kecemerlangan sesebuah institusi wakaf kekal sepertimana objektif ia ditubuhkan,” katanya ketika berucap melancarkan EduWAQF iaitu wakaf pendidikan hasil inisiatif AWQAF Holdings Berhad di Bangi, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata semua institusi wakaf perlu terus mengamalkan struktur korporat dan sistem pengurusan yang berpaksikan kecemerlangan amalan tata kelola, ketelusan, keberkesanan dan kecekapan di samping menegakkan pematuhan syariah dalam semua aspek.    
 
Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat turut menarik perhatian bahawa kerajaan melihat penubuhan institusi wakaf sebagai suatu yang amat bertepatan dengan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu dan semakin menekan terutamanya kepada Bumiputera dan umat Islam.

Beliau berkata penubuhan institusi wakaf korporat diharap mampu menyeimbangkan pemilikan harta kekayaan yang selama ini dimonopoli oleh golongan tertentu kepada konsep pemilikan institusi tersebut.

Timbalan perdana menteri juga mahu masyarakat Islam yang berkemampuan diberikan kefahaman tentang kepentingan menyumbang dalam pembinaan harta atau dana wakaf agar dapat digunakan untuk kemajuan umat.

“Jika kita kaji sejarah, kita akan dapati wakaf berupa enjin pembiayaan sosial yang amat signifikan bagi menjana aktiviti ketamadunan seperti pendidikan, kemudahan awam dan pemeliharaan alam,”
katanya sambil memberi contoh pembangunan Universiti Al-Azhar di Mesir melalui dana wakaf sehingga mampu memberi biasiswa penuh kepada mahasiswa jurusan agama.

Mengenai EduWAQF, Dr Wan Azizah berkata inisiatif AWQAF mewujudkan wakaf tersebut amat menepati prinsip dan nilai Islam yang menekankan semangat berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan.

“Saya difahamkan AWQAF akan menyediakan dana sebanyak RM5 juta bagi tujuan itu di mana ia akan dilaburkan sebelum keuntungan tersebut digunakan bagi tujuan memperkasa pendidikan,” kata beliau. – Bernama

Tiada ulasan: