HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2018

Sirul utus surat pada Dr M: Sedia dedah kes bunuh Altantuya

MALAYSIAKINI

   

Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaaribuu, telah menulis sepucuk surat peribadi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulangi kesediaannya untuk mendedahkan segala-galanya mengenai kes itu.

Menurut bekas ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Sirul menyerahkan surat itu kepada Mahathir, ketika bertemu dengan Sirul di Kem Tahanan Villawood di Sydney, hari ini.

"Perjumpaan di bulan Syawal ini amat bermakna dan kami telah berbual panjang lebar secara ikhlas dari hati ke hati selama lebih kurang sejam setengah. Sirul Azhar Umar kelihatan sihat serta tenang di kem tahanan villawood yang mana beliau telah ditahan hampir selama 5 tahun sehingga kini.

"Insya-Allah, saya amat yakin kebenaran mengenai kes pembunuhan altantuya shaaribu akan menyebelahi pihak yang teraniaya akhirnya.

Tidak lagi dibelenggu ketakutan

"Dalam pertemuan ini juga; Sirul Azhar Umar telah mengutuskan sepucuk surat kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang mana saya sendiri tidak tahu apa isi kandungannya.

"Surat peribadi tersebut telah diletakkan di dalam sampul yang tertutup dan akan saya sampaikan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia apabila pulang ke tanahair dalam beberapa hari lagi," kata Khairuddin dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Khairuddin, Sirul juga berkata amat merindui keluarganya di kampung halaman selain tidak lagi merasa dibelenggu perasaan takut.

"Kini, Sirul Azhar Umar kelihatan amat bersemangat dan tidak lagi dibelenggui oleh sebarang perasaan takut kerana beliau amat yakin dengan sistem perundangan baru di malaysia yang diterajui oleh Pakatan Harapan yang mampu membela kalangan yang teraniaya," kata Khairuddin lagi.

Azilah menunggu hukuman mati

Dalam wawancara dengan Malaysiakini bulan lalu, Sirul berkata dia sedia mendedahkan semua perkara mengenai pembunuhan Altantuya dengan syarat dia diberikan pengampunan sepenuhnya untuk kembali ke Malaysia.

Sirul telah ditahan di kem imigresen Australia di Villawood di Sydney semenjak tiga tahun lalu, selepas Mahkamah Persekutuan mendapati dia dan ketua inspektor Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman mereka pada tahun 2013. Namun selepas pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, keputusan bersalah itu kemudiannya dikekalkan.

Azilah sedang menjalani hukuman penjara sementara menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Beliau juga telah memohon pengampunan.

Altantuya dibunuh di bukit terpencil di Puncak Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1.30 pagi pada hari berikutnya.


Tiada ulasan: