HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2018

Umno memilih Sabtu ini, pilihan ketua bahagian atau ahli?

Ramai perwakilan Umno berkata tidak ada senarai dikeluarkan dan tiada arahan daripada ketua bahagian untuk mengundi calon tertentu pada pemilihan parti hujung minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
KEKUATAN warlord Umno dalam menetapkan pemilihan parti berbeza bergantung pada negeri dan bahagian tetapi secara keseluruhan, pengaruh mereka berkurangan terutama selepas kekalahan parti pada PRU14, kata perwakilan dan ketua bahagian.

Mengundi untuk jawatan tertinggi pada Sabtu ini dijangka akan berpihak kepada bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pemangku presiden dan mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua bahagian.

Tetapi di mana sebelum ini penggunaan senarai atau “cai” (menu dalam bahasa Cina) berleluasa, kini lebih ramai perwakilan dilaporkan pengundian terserah kepada pilihan individu.

“Ia berbeza sekarang,” kata Zailan Mokhtar, 51, perwakilan cawangan yang bekerja sebagai peniaga di Masjid India.

Katanya, tidak ada arahan diterima daripada ketua bahagiannya di Bukit Bintang, Zainal Abidin Mohd Rafique tentang siapa yang perlu diundi.

Zailan berkata sejak pemilihan dibuka pada 2013, pengaruh warlords semakin berkurangan kerana terlalu ramai perwakilan untuk mengundi.

Sebelum 2013, pemimpin tinggi Umno dan Majlis Tertinggi ditentukan oleh kira-kira 2,700 perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung tahunan. Tetapi selepas pindaan perlembagaan parti pada peraturan pemilihan, jumlah perwakilan mengundi dilanjutkan kepada lebih 100,000, kata Zailan.

“Dengan apa yang berlaku selepas PRU14, perwakilan diminta menggunakan budi bicara sendiri,” kata pesara tentera itu ketika ditemui pada majlis Hari Raya untuk perwakilan Umno Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Penganjuran perjumpaan Hari Raya bermatlamat untuk memikat perwakilan di negeri-negeri sejak minggu lalu. Calon menggunakan perjumpaan seperti itu untuk memperkenalkan diri dan mengedar kad serta risalah biodata, resume politik dan nombor undian.

Perjumpaan peringkat negeri dianjurkan untuk Zahid, di mana beliau memberikan ucapan.

Pesaingnya dalam pemilihan jawatan presiden ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin, serta calon yang kurang dikenali iaitu Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusuf Musa @ Jamaluddin yang perlu menganjurkan sendiri majlis perjumpaan mereka untuk berkempen dalam kalangan perwakilan.

Dalam perebutan merebut jawatan timbalan presiden ialah, ketua penerangan parti Annuar Musa dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan.

Jawatan naib presiden akan menyaksikan beberapa bekas menteri dan ketua menteri merebut tiga kerusi itu. Seramai 106 calon akan bertanding mendapatkan 25 tempat dalam Majlis tertinggi, dan antara calonya ialah ahli Parlimen dan bekas menteri.

Ketua Umno Bahagian Rasah Hasim Rusdi berkata beliau tidak tahu sebarang senarai khusus setakat ini tetapi ketua-ketua bahagian masih ditanya tentang siapa yang patut diundi.

“Kami tidak beri arahan tetapi ramai perwakilan merujuk kepada kami untuk dapatkan nasihat. Tetapi itu hanya rujukan saja,” kata ADUN Labu itu.

Katanya, bahagiannya akan memilih berdasarkan kepada pengetahuan calon, integriti dan kemampuan sebelum menasihati perwakilan.

Jumlah calon dari negeri tertentu juga menjadi faktor penting dalam memastikan setiap negeri ada wakil dalam Majlis Tertinggi.

“Contohnya, ada ramai calon dari Selangor. Kita tidak boleh biarkan semuanya menang, kan?,” kata Hasim.

Ketua Umno Bahagian Jelebu Jalaluddin Alias berkata ramai perwakilan bertanya meminta nasihat ketua bahagia.

“Tetapi bagi saya, ini masa terbaik untuk undi ikut rasa hati. Kita perlu pilih presiden mengikut umurnya, kemampuan dan sama ada beliau diterima oleh semua kaum atau tidak,” kata Jalaluddin.

Kalau ada senarai, ia kerana perwakilan tidak cukup mengenali calon, kata exco Wanita Tambun Nuraniza Paijan.

“Bila mereka beri kami senarai, kami patut ikut saja. Saya mahu ikut senarai itu kerana saya tidak begitu mengenali semua calon,” katanya.

Di bahagian akar umbi, ketua cawangan Kampung Sialang Hilmi Zurghida berkata pengaruh warlord berbeza dari satu tempat dengan tempat lain.

“Sukar untuk warlord sekarang kerana ramai boleh nilai sendiri calon. Bagi Umno untuk kembali, kita perlu undi ikut siapa yang kita fikir calon terbaik.”

Perwakilan dari Batu, Norhisham Abdul Mutalib berkata beliau tidak percaya yang budaya warlord sekuat ketika sebelum kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

“Terlalu ramai perwakilan dan lebih pun mereka tidak lagi berpengaruh seperti dulu. Bagi bahagian saya, ia terbuka kepada semua calon,” katanya.

Tiada ulasan: