HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Jun 2018

Tuduhan ‘Azmin miliki ratusan juta ringgit’ dibuat oleh musuh politik – Amirudin

THE MALAYSIAN TIMES



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan tuduhan kononnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri memiliki ratusan juta ringgit dalam beberapa akaun bank di luar negara dibuat oleh musuh politik di peringkat dalaman atau luaran daripada PKR.

Beliau turut menyifatkan tuduhan itu berniat jahat bukan sahaja untuk mencemarkan imej Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu malah untuk menjejaskan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dalam hal politik ini ada banyak kemungkinan. Bagaimanapun, saya sangat percaya kepada rakan-rakan kita (dalam kepimpinan PKR dan parti komponen dalam PH).

“Melihat daripada tuduhan seumpama itu, maka sememangnya ahli-ahli politik perlu berhati-hati dan menjadikannya sebagai peringatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE) di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Setiausaha PKR Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan yang dibuat oleh penulis blog ‘Toyol of Selangor’, yang mendakwa bekerja dengan bekas menteri besar Selangor itu.

Dalam penulisan bertarikh 18 Jun lepas, penulis blog terbabit antara lain mendakwa Mohamed Azmin dan isterinya Datin Seri Shamsidar Taharin memiliki ratusan juta ringgit dalam banyak akaun bank di luar negara.

Amirudin berkata pendirian Mohamed Azmin untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog terbabit adalah satu langkah yang tepat kerana ia menunjukkan beliau serius menafikan tuduhan tersebut.

Tiada ulasan: