Presidennya, Musa Awang berkata individu berkenaan sepatutnya disiasat mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002 atas pelbagai kesalahan.
“Secara asasnya, sekarang ada dua isu kerana iaitu perkahwinan dibuat di luar negara. Ia satu kesalahan dan dibuat tanpa kebenaran.
“Suami berpoligami tanpa kebenaran juga satu kesalahan manakala pihak perempuan sendiri termasuk wali bernikah tanpa kebenaran mahkamah syariah kerana berumur bawah 16 tahun,” katanya.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Musa berkata, semua pihak yang hadir di majlis pernikahan itu juga perlu disiasat atas tindakan yang menurutnya mencabat undang-undang dan institusi Islam.
“Ada juga kesalahan bersubahat bagi semua pihak yang hadir dalam majlis tersebut termasuk ibu, saksi dan sekiranya, ada ejen yang bawa mereka bernikah di selatan Thailand,” katanya.
Tambahnya, untuk perkahwinan di bawah umur 16 tahun, wali kepada perempuan perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah dan memberikan alasan yang kukuh.
“Dia (wali) kena mohon buat afidavit kenapa hendak nikahkan anak. Kalau mahkamah yakin dan puas hati serta alasan munasabah, ia dibenarkan. Jika tidak munasabah, jadi mahkamah tak akan benarkan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai hukuman, katanya setiap kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan, atau kedua-duanya untuk setiap satu kesalahan.
Pihak berkuasa melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis sedang menyiasat dan mengesan kanak-kanak tersebut yang dikatakan tinggal di Gua Musang.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan setakat hari ini enggan menjelaskan bentuk tindakan yang akan diambil kerana masih belum mendapat laporan penuh.
Semakan The Malaysian Insight mendapati, pemohon yang ingin bernikah di Kelantan wajib berusia sekurang-kurangnya 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi perempuan.
Sekiranya pemohon berumur kurang daripada umur yang ditetapkan, pemohon perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan