Tiga calon menawarkan diri untuk bertanding kerusi panas itu iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.
Ketiga-tiganya bukan calang-calang calon kerana mereka mempunyai ketokohan tersendiri dalam sejarah kepimpin Umno.
Masing-masing ada kelebihan tersendiri untuk membolehkan mereka memikul tanggungjawab memimpin parti keramat Melayu itu.
Buat pertama kalinya juga dalam sejarah, calon-calon Presiden Umno berdebat secara langsung bagi mengemukakan visi dan misi masing-masing bagi membawa parti ke satu anjakan baharu.
Debat yang berlangsung malam tadi dan disiarkan di Astro Awani itu berlangsung dengan penuh semangat setiakawan bagi meraikan demokrasi terbuka dalam parti.
Mungkin tiada istilah siapa menang dan siapa kalah dalam debat ini, namun apa yang diutarakan akan menjadi perhitungan buat 150,000 perwakilan yang akan mengundi dalam pemilihan hari ini.
Bagi calon paling veteran, Tengku Razaleigh atau Ku Li, antara perubahan mahu dibawa beliau jika terpilih sebagai Presiden Umno ialah membuka ruang luas kepada suara rakyat di akar umbi agar lebih didengari.
“Masalah dalam Umno kebelakangan ini ialah dikongkong dari atas. Sehinggakan orang bawah tak boleh bersuara kerana semuanya dikawal di pusat.
“Saya cadang kita ubah keadaan ini dan beri orang bawah pengaruhi orang atas. Beri mereka peluang untuk sumbangkan idea untuk gubal dasar dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Ku Li juga bercadang untuk menggabungkan gandingan kepimpinan muda dan lama bagi memantapkan parti.
“Orang muda lebih bertenaga dan produktif. Mereka juga dapat banyak pendedahan dan latihan untuk bergerak ke hadapan.
“Manakala orang lama akan berperanan untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan,” katanya.
Manakala, Ahmad Zahid yang sebelum ini menduduki kerusi Naib Presiden pula ingin melaksanakan tawaran baharu kepada ahli-ahli Umno.
“Umno yang pernah ditubuhkan pada 1946 ialah Umno 1.0. Manakala Umno yang diharamkan pada 1988 sebagai Umno 2.0.
“Kini tiba masanya untuk kita bentuk Umno dalam tawaran baharu dengan Umno 3.0 Kalau diberi mandat saya mahu supaya kita melihat bahawa isi kandungan Umno dari segi organisasi, struktur, roh, semangat dan perlakuan kepimpinan perlu berubah,” katanya,
Beliau juga berjanji akan memastikan Umno terus mempertahankan hak orang Melayu dan Islam.
“Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan perlu diperkukuhkan. Lebih-lebih lagi ada yang pertikaikan kedudukan agama Islam, raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Ini harus diperkasakan dan saya fikir roh umno perlu dikembalikan. Umno jangan dibuka kepada bangsa lain kerana Umno hak Melayu dan Bumiputera serta rakan-rakan di Sabah,” katanya.
Calon paling muda, Khairy yang pernah mengemudi sayap Pemuda pula menjanjikan dua perkara yang bakal dilakukan jika berjaya menggalas jawatan Presiden Umno iaitu keterbukaan dan persediaan.
“Keterbukaan ini lebih kepada bagaimana kita dapat menarik bakat-bakat yang baharu dalam Umno yang selama ini mungkin dicantas dan dihalang untuk menyumbang kepada parti. Saya nak tubuhkan satu majlis pengkaderan di mana kita jemput cerdik pandai, aktivis, agamawan, profesional Melayu untuk turut membantu menbina semula parti.
“Mereka ini tidak perlu melalui jalan biasa dalam sistem politik. Kita jemput mereka untuk menyampaikan idea supaya kita nampak sebagai parti yang ada bakat muda dan bakat profesional untuk menghadapi pilihanraya akan datang,” katanya.
Beliau juga mahu memastikan jawatan Presiden Umno tidak lagi kebal sebaliknya ahli terbuka untuk menyampaikan kebenaran.
“Jawatan Presiden tidak lagi tidak boleh dipertandingkan, Presiden tidak boleh dilindungi, kalau dahulu ada pengkritik Presiden mungkin akan dipecat, digantung, dikenakan tindakan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, katanya, perubahan kedua adalah persediaan untuk jadi pembangkang yang berwibawa.
“Saya tidak mahu jadi Presiden Umno yang memikirkan jalan yang pintas untuk kembali kepada kerajaan dengan menggunakan rundingan pintu belakang. Kita kena tunjuk kepada rakyat yang kita boleh bangkit sebagai pembangkang yang berwibawa,” katanya.
Selain menjelaskan tawaran masing-masing, ketiga-tiga calon juga senada dan sepakat agar Umno melakukan perubahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan