HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2018

Dr Mahathir terima penghormatan tertinggi Indonesia

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
Dr Mahathir terima penghormatan tertinggi Indonesia
Joko Widodo dipercayai akan membincangkan peranan Malaysia menerusi kepimpinan Dr Mahathir, dilihat sebagai tokoh ternama di ASEAN, dalam memperkukuhkan rantau ini. - Gambar fail
 

JAKARTA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Indonesia hari ini sempena lawatannya yang pertama ke republik ini selepas menjadi perdana menteri buat kali kedua sejak 10 Mei lalu.

Timbalan Duta Malaysia ke Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, kerajaan Indonesia melihat Dr Mahathir sebagai tokoh dan negarawan ulung di rantau ini.

Malah katanya, Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri, Iriana Jokowi, akan menyambut ketibaan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, serta delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di sini petang ini.

"Dr Mahathir dilihat sebagai tokoh ternama di ASEAN di mana saya percaya Joko Widodo akan membincangkan peranan Malaysia menerusi kepimpinan Dr Mahathir dalam memperkukuhkan ASEAN.

"Lawatan ini merupakan yang paling ditunggu-tunggu dan julung kali diadakan oleh Dr Mahathir," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Zamshari, Dr Mahathir juga diberi penghormatan untuk menanam pokok angsana di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat pagi esok yang merupakan sebahagian lambang keutuhan dua negara.

"Cadangan yang dikemukakan oleh Istana Presiden adalah pokok angsana. Ia merupakan pokok yang tipikal di Malaysia dan Indonesia.

"Ia dilihat sebagai spesis pokok kayu yang keras dan berusia sekaligus melambangkan asas yang kuat dalam hubungan dua hala," tambahnya

Ujarnya, lawatan kali ini juga seiring sambutan ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang disambut tahun lalu.

Tiada ulasan: