HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Jun 2018

Pemuda bantah SPRM beku akaun UMNO


Wartawan MalaysiaGazette


xasyraf-wajdi-ekonomi-ISlam-681x454
Asyraf Wajdi Dusuki


KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak SPRM menarik balik tindakan tersebut kerana siasatan masih boleh dilakukan tanpa perlu menganiayai operasi parti yang sah dalam amalan demokrasi.

Ia merupakan satu tindakan melampau yang langsung tidak mencerminkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan, katanya.

“SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka tentang punca sebenar akaun UMNO dibekukan.

“Lazimnya dalam operasi-operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan telah dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.

“Sebaliknya ahli UMNO tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan yang melibatkan pelanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi UMNO,” bidasnya dalam kenyataan media hari ini.

Asyraf Wajdi menegaskan, dalam konteks itu pihaknya menuntut prinsip undang-undang presumption of innocence dihormati oleh semua pihak termasuk SPRM.

“Di era Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah kerajaan sesuka hati membekukan akaun parti lawan, walaupun para pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

“Apakah ini sebahagian daripada model ‘Malaysia Baharu’ yang dicanangkan, namun pada masa sama sewenangnya membuli parti lawan yang tidak sehaluan?” soalnya.

Menurutnya, pembekuan tersebut bukan sahaja akan menganiayai pekerja-pekerja parti yang akan menerima kesan terhadap pembayaran gaji bulanan malah boleh merencatkan operasi parti yang bergerak secara sah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas.

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO memohon SPRM memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dibenarkan melalui akaun-akaun yg dibekukan ini.”

“Pemuda UMNO mengalu-alukan sebarang siasatan yang telus dan berlandaskan Kedaulatan Undang-Undang sebagaimana yang sering dicanangkan oleh Kerajaan PH,” katanya lagi.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: