HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2018

Najib berniat mahu letak hadiah di galeri


Jumlah rampasan pada 16 dan 17 Mei lalu akhirnya didapati mencecah RM1.1 bilion.


Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berhasrat untuk menempatkan pelbagai hadiah diterimanya di galeri pada suatu hari nanti.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya semalam selepas polis mengumumkan jumlah rampasan di premis dikaitkan dengannya mencecah hingga RM1.1 bilion.

Najib mendakwa beliau tidak pernah menggunakan hadiah-hadiah terbabit termasuk cincin mahal kerana menyedari dirinya tidak patut menggunakannya.

“Itu niat saya (letak hadiah di galeri). Letak barang tersebut di sebuah pameran kerana saya tidak pernah menggunakannya.

“Saya tahu ada cincin yang mahal diberikan tetapi saya tidak gunakannya sebab saya tahu harganya mahal dan saya tahu sebagai pemimpin, saya tak patut menggunakannya.

“Ia tidak akan digunakan dan akan menjadi sebahagian daripada galeri. Pada suatu hari nanti ia akan dipamerkan,” jelas mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu.

Najib, 65, bersama keluarganya sebelum ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa keluarga diraja di negara-negara Timur Tengah termasuk bekas raja dan raja Arab Saudi yang baru.

Bahkan, Ahli Parlimen Pekan tersebut mendakwa wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab.

Ekoran itu, Najib dihujani kecaman berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagaimanapun secara konsisten menafikan sumber wang itu bukan daripada 1MDB serta memberitahu tidak menggunakan dana itu bagi kepentingan peribadi.

Semalam, polis mendedahkan nilai koleksi ratusan beg tangan, jam tangan, kaca mata dan 12,000 barang kemas yang dirampas dari enam premis dikaitkan dengan Najib mencecah kira-kira RM1.1 bilion.

Jumlah tersebut termasuk RM116.7 juta wang tunai daripada 26 jenis matawang.

Sehubungan itu, polis akan memanggil Najib dan Rosmah dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan berhubung siasatan skandal 1MDB.

Tiada ulasan: