HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Rakyat terkejut, tak percaya rampasan Najib-Rosmah cecah RM1 bilion

THE MALAYSIAN INSIGHT
Rakyat terkejut, tak percaya rampasan Najib-Rosmah cecah RM1 bilion
Rampasan di beberapa kediaman dikaitkan dengan Najib Razak dan Rosmah Mansor mencecah RM1.1 bilion, seperti didedahkan polis hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari
 
RAKYAT Malaysia di media sosial meluahkan perasaan terkejut dan tidak percaya mereka kepada jumlah nilai rampasan dan barangan yang dirampas di kediaman Najib Razak seperti mana didedahkan polis hari ini.

Ramai yang mempersoalkan bagaimana Najib yang juga bekas presiden Umno dan isteri, Rosmah Mansor mampu memilik harta sebanyak itu, selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh dalam sidang media hari ini melaporkan jumlah rampasan termasuklah barangan kemas, wang tunai, bag tangan dan jam mewah mencecah RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.

Seorang pengguna twitter, @v_vivekkk menulis:

Hari ini, Amar Singh berkata yang nilai barangan kemas mencecah RM400 juta itu adalah hanya untuk nilai bahan dan tidak mengambil kira aspek kerja tangan, reka bentuk dan pelbagai kos lain terlibat dalam jualan yang boleh meningkatkan harganya kepada 50% atau 100% lagi.

Katanya, 12,000 barangan kemas yang dirampas termasuklah 14 tiara, cincin, berlian, gelang tangan dan subang. Paling mahal adalah rantai berlian putih yang dinilai berharga RM6.4 juta.

Dalam satu wawancara dengan Reuters baru-baru ini, Najib yang sedang disiasat kerana pengubahan wang haram, berkata wang tunai, bag tangan dan permata yang dirampas dari beberapa kediaman dikaitkan dengan dirinya adalah “hadiah untuk isteri dan anak perempuannya” dan tiada kaitan dengan skandal penyelewengan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hari ini juga, polis mendedahkan yang wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam pelbagai mata wang asing dirampas daripada kediaman dikaitkan dengan Najib termasuklah rumahnya di Jalan Langgak Duta, unit kondominium mewah tempat tinggal anak lelaki dan perempuannya di Pavilion Residences serta sebuah lagi unit kosong di bangunan sama.

Wang itu ditemui dalam 26 jenis mata wang asing dan tiga hari diperlukan untuk mengiranya dengan bantuan 22 pegawai Bank Negara Malaysia menggunakan enam mesin pengira wang.

Peguam dikenali ramai, Art Harun menulis di Twitter:

Peguam itu merujuk kepada tiga calon utama presiden Umno, Khairy Jamaluddin, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah dan Ahmad Zahid Hamidi.

Unit Komunikasi Strategik Umno awal bulan ini mendakwa wang yang dirampas polis adalah milik parti, bekas ahli Parlimen Johor Baru Shahrir Samad juga berkata jumlah wang tunai yang banyak ditemui di kediaman Najib diperlukan untuk melancarkan jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional.

Amar Singh dalam sidang media sama berkata yang polis akan memanggil Najib dan Rosmah dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berkaitan rampasan wang tunai dan barangan berharga itu. –

Tiada ulasan: