Veteran Umno Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latif memberi peringatan kepada ahli Umno supaya tidak mengulangi sejarah hitam 2018 apabila Umno dan BN kecundang buat kali pertama sejak menerajui Perikatan lagi.
Sebagai seorang veteran Umno yang telah memegang pelbagai portfolio sejak zaman Pergerakan Pemuda Umno sehinggalah
dianugerahkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2017 oleh Umno, beliau melahirkan rasa bimbang nasib yang akan menimpa Umno selepas pemilihan bagi perebutan jawatan Presiden Umno pada 30 Jun nanti.
“Sepatutnya bukan Datuk Seri Najib sahaja yang patut berundur dari menerajui Umno, seharusnya sedar akan kebersalahan kekalahan yang diterima adalah kesemua barisan Majlis Tertinggi melepaskan jawatan dalam Umno.
“Mereka yang berada dalam kabinet Najib semasa menerajui Umno baru-baru ini sepatutnya tidak lagi terlibat dalam pemilihan kali ini.
” Isu membabitkan 1MDB serta teguran sepertimana yang telah disampaikan oleh Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Shafei Afdal kepada Najib seharusnya diguna pakai sebelum ini,
sebaliknya ia tidak menerima teguran tersebut sehinggalah mengakibatkan Umno dan BN menerima nasib yang amat malang pada 9 Mei yang lalu, ” jelasnya ketika ditemui.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang berkata, Umno masih lagi relevan dan memerlukan antara tiga hingga empat tahun untuk memulihkan semula kekuatan, semangat, keyakinan serta bangkit semula.
“Selepas 61 tahun menjadi tunjang kepada Perikatan dan BN, kekalahan kali ini amat dirasai oleh veteran Umno.
“Umno perlu elakkan pertandingan untuk pemilihan Presiden kali ini walaupun ia sah disisi perlembagaan parti.
“Gabungan pengalaman veteran Umno seperti bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh dengan sokongan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin mampu menguatkan kepimpinan Umno tanpa ada perebutan, ” ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam keadaan Umno yang masih teraba-raba mencari hala tuju sebagai pembangkang buat kali pertama, maka gabungan bagi memantapkan Umno merupakan tanggungjawab utama mereka yang menerajui kepimpinan cawangan, bahagian dan juga negeri.
“Kini bukan lagi masa untuk berbalah dan sengketa.
“Masa yang masih terluang ini Umno harus mampu untuk mengakui kelemahan yang ada.
“Akur terhadap segala kepincangan dan berusaha bangkit bagi mendapat semula keyakinan rakyat yang telah terhakis, ” sarannya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan